Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor mempersoalkan pihak yang sering bercakap mengenai pembangunan bola sepak, tetapi apakah hasil sebenar yang telah dicapai.
Persoalan itu dilontarkan Baginda menerusi ruangan komen Instagram selepas JDT berkongsi deretan kejayaan yang diraih pasukan Harimau Selatan daripada peringkat pembangunan bawah umur hingga skuad utama sepanjang 2026.
“Dari atas sampai ke bawah. Yang lain selalu cakap pasal pembangunan/development. Pembangunan apa? ‘Action speak louder than words’,” tulis Baginda.

Kenyataan tersebut seakan memberi penegasan bahawa pembangunan bola sepak perlu diterjemahkan menerusi hasil yang boleh dibuktikan, bukan sekadar perancangan atau percakapan semata-mata.
Menerusi grafik yang dikongsikan, skuad utama JDT disenaraikan sebagai juara Charity Cup 2026, manakala JDT III turut mengukuhkan pencapaian kelab dengan meraih pingat emas bola sepak SUKMA 2026 dan kejuaraan Piala Presiden 2026.
JDT IV pula meneruskan kecemerlangan apabila muncul juara Piala Belia 2026, sekali gus melengkapkan kejayaan tiga peringkat pasukan teratas dalam struktur bola sepak JDT.
Di peringkat pembangunan bawah umur, JDT B-15 turut mencatat tiga kejayaan menerusi JSE International Football Festival 2026 edisi Malaysia, MSSM 2026 dan Seoul Hechi Cup 2026 di Korea Selatan.
Tidak ketinggalan, skuad JDT B-14 turut mengharumkan nama kelab apabila muncul juara RSA x Catalunya Cup Football Tournament 2026.
Bagi kategori JDT B-13, mereka turut disenaraikan sebagai juara Johor Cup 2026 Bawah 14 Tahun, manakala skuad B-12 mengumpul lima kejuaraan menerusi KFAM International Youth Cup 2026, JSE International Football Festival 2026, Johor Cup Bawah 12 Tahun 2026, MSSM 2026 dan Milo Cup Bawah 12 Tahun 2026.
Deretan pencapaian itu memperlihatkan kejayaan JDT yang bukan hanya tertumpu kepada skuad utama, malah turut merangkumi pelbagai peringkat umur dalam ekosistem pembangunan bola sepak kelab berkenaan.
Situasi itu memberi konteks kepada persoalan yang ditinggalkan Tunku Ismail mengenai pembangunan bola sepak, dengan JDT mengetengahkan koleksi kejuaraan sebagai antara hasil yang berjaya dicapai daripada peringkat akar umbi hingga ke pasukan senior.


