Dua skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) iaitu AMD Future dan AMD Dream alami nasib berbeza dalam aksi terakhir kumpulan kategori B-14 Piala Supermokh 2023.
Aksi terakhir Kumpulan A menyaksikan AMD Dream meraih satu lagi kemenangan dengan mengalahkan wakil Jepun, Shonan Belmare 2-1.
Ini satu pencapaian membanggakan buat AMD Dream kerana mereka mara ke separuh akhir dengan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan A.
Ini kerana mereka berjaya mengikat wakil Croatia, NK Osijek 1-1 sebelum membelasah wakil Thailand, Piraya Football Academy 7-0.
Bagaimanapun, AMD Future pula gagal mara ke separuh akhir selepas dibelasah satu lagi wakil Thailand, Buriram United 6-0.
Ini kekalahan kedua AMD Future dalam Kumpulan B selepas tunduk 3-1 kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dalam aksi kedua Kumpulan B semalam.
Dengan satu mata diraih selepas mengikat Spartak Trnava pada aksi pertama kumpulan, peluang mereka ke separuh akhir sudah tertutup.
Aksi separuh akhir esok menyaksikan AMD Dream bersemuka dengan Buriram. Manakala Shonan Belmare pula menentang satu lagi wakil negara, SSBJ.