Dua bekas pemain TRW Kelantan FC kini mula mencipta nama apabila beraksi di Sepanyol.
The Red Warriors kini menghadapi masalah dan tidak lagi dapat beraksi dalam kancah bola sepak Malaysia.
Usaha untuk menyertai saingan Liga A1 Semi Pro musim 2024/25 menemui jalan buntu apabila pasukan milik Norizam Tukiman itu tidak dapat mendaftarkan sekurang-kurangnya 20 pemain.
Namun begitu, pemain utama pasukan yang membawa haluan baharu bagi saingan musim ini melangkah dengan penuh bergaya termasuklah dua bekas pemain TRW Kelantan FC yang kini menapak di Sepanyol.
Pemain yang dimaksudkan itu ialah Allee Putra Azril dan juga Nuha Marong yang mengorak langkah di Eropah.
Allee yang juga pemain muda Kelantan kembali bersama bekas kelabnya, FC Malaga City bagi musim 2024/25.
Pemain berusia 18 tahun itu pernah mengembangkan bakatnya bersama akademi kelab tersebut dan menyimpan hasrat untuk kekal berkelana di Eropah.
Beliau juga merupakan antara prospek terbaik pada posisi jentera tengah selain menyimpan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Seorang lagi pemain ialah penyerang berbisa Kelantan FC, Nuha Marong.
Pemain berusia 30 tahun itu kini beraksi bersama CD Atlético Baleares di Divisyen Tiga Sepanyol.
Bekas penyerang kebangsaan The Gambia itu berhijrah ke Oman daripada Kelantan sebelum kembali beraksi di Sepanyol.
Nuha beraksi dalam 19 perlawanan di sana namun hanya berjaya menjaringkan satu gol sahaja.