Cabaran baharu dan projek pasukan yang menarik antara faktor yang mendorong Danial Asri menyertai DPMM FC.
Meskipun mengakui bukan mudah untuk meninggalkan pasukan lamanya, Kuching City FC, Danial melihat ini peluang untuk meningkatkan prestasi peribadinya.
Ini ditambah dengan projek menarik yang ditawarkan pengurusan DPMM kepada pemain berusia 26 tahun itu. Danial melihat projek tersebut mampu membawa DPMM ke hadapan selepas ini.
“Saya rasa ini satu peluang baik untuk saya berkembang sebagai pemain di mana DPMM FC juga mempunyai projek menarik musim depan dan saya percaya ini langkah tepat untuk saya pergi jauh lagi.
“Ia bukan keputusan mudah sebab Kuching City banyak bantu saya berkembang dengan lebih baik dalam pelbagai aspek dan saya hargai peluang, kepercayaan daripada pihak pengurusan, jurulatih dan rakan-rakan serta penyokong.
“Sekarang saya harap saya dapat kekal momentum seperti ini untuk lebih baik lagi bersama kelab baharu, dan saya perlukan cabaran baru untuk meningkatkan lagi prestasi, saya tidak boleh rasa selesa,” katanya.
Danial antara lapan pemain baharu yang dibawa pengurusan DPMM untuk kempen musim 2026/27. Beliau menyertai Samuel Somerville, Fariz Izdiham Awang Kechik dan Nick Swirad sebagai pemain baharu tempatan.
DPMM turut membawa masuk Oscar Santis secara pinjaman, Mohammad Toha, Ebenezer Aban dan Clark Robertson sebagai tonggak import baharu.
Beberapa pemain juga kini menjalani sesi percubaan bersama kelab Brunei itu. Antaranya pemain tengah Panama, Ricardo Avila, pemain tengah Nigeria, Azubuike Okechukwu dan bekas penyerang Austria Salzburg, Daniel Bares.