Penyerang muda Malaysia, Haqimi Azim terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pentas Kelayakan Piala Asia B23.
Dugaan berat menimpa pemain berusia 20 tahun itu apabila beliau mengalami kecederaan ketika sesi latihan bersama skuad kebangsaan di Thailand.
Dalam satu hantaran di lama Instagram Story miliknya semalam, beliau kelihatan sedang bertongkat dan buku lalinya bengkak. Hari ini Haqimi memuat naik satu video memaparkan kesakitan yang dialamin Haqimi selepas kakinya terseliuh ketika berlari.
Ada kebarangkalian buat Haqimi terlepas dalam dua aksi mendatang. Penyerang muda KL City ini bagaimanapun tetap optimis dengan kemampuan rakan sepasukannya yang lain dan sentiasa memberi sokongan buat mereka.
“Perancangan Allah lebih baik. Allah tahu kita kuat, sebab itu Allah uji. Goodluck dan all the best sahabat untuk perlawanan harini,” tulis Haqimi semalam di IG Story.
Anak buah kendalian E. Elavarasan mula langkah kanan apabila berjaya menewaskan Bangladesh pada aksi pertama Kumpulan H dengan keputusan 2-0.
Aksi seterusnya menyaksikan skuad B23 negara bakal bertemu Filipina pada Sabtu, 9 September sebelum mereka beraksi menentang Thailand untuk perlawanan terakhir pada Selasa, 12 September 2023.
16 pasukan terbaik, terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan bersama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah iaitu Qatar akan layak untuk beraksi di pentas Piala Asia B-23 2024 di Qatar, tahun hadapan.