E. Elavarasan Sah Bimbing Melaka
MakanBola
Melaka FC

Bekas jurulatih Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), E. Elavarasan sah membimbing juara Liga A1 Semi-Pro musim lalu, Melaka FC.

Pelantikan beliau diumumkan Melaka menerusi satu kenyataan ringkas hari ini. Pengumuman ini turut menamatkan desas-desus siapa pengganti jurulatih sebelumnya, K. Devan.

Elavarasan bakal dibantu bekas pemain import Sarawak, Muamer Salibasic. Salibasic turut memegang peranan sebagai penolong jurulatih ketika kedua-duanya bersama Kelantan TRW.

Sentuhan Elavarasan ditagih Melaka untuk membantu pasukan itu keluar dari kelompok tercorot Liga Super.

Selepas mengharungi 12 perlawanan, Melaka di tangga ke-12 dengan enam mata. Pasukan itu meraih satu kemenangan, tiga seri dan lapan kekalahan.

Elavarasan bukan satu-satunya muka baharu yang akan membantu Melaka pada separuh kedua musim 2025/26.

Ini kerana dua wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi dan Zulhelmi Zainal Azam melaporkan dua pemain baharu dari Eropah Timur juga akan menyertai pasukan itu.

Dua pemain tersebut ialah Argzim Redzovic dan Dino Kalesic. Redzovic bukan asing dengan Liga Malaysia (Liga M) kerana pernah beraksi untuk PDRM FC dan Terengganu FC.