Ecuador ‘Rantai’ Brazil
MakanBola
La Tri

Brazil terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila diikat Ecuador dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Amerika Selatan.

Aksi ini cukup penting kerana ini aksi pertama jurulatih legenda Itali, Carlo Ancelotti sebagai pengendali Brazil.

Sentuhan jurulatih berusia 65 tahun itu ditagih Selecao untuk mengatasi kemerosotan prestasi pasukan itu terutama di peringkat kelayakan Piala Dunia 2026. Ini termasuk kekalahan besar di tangan Argentina pada Mac lalu.

Bintang muda, Willian Estevao bergandingan dengan Richarlison dan Vinicius Jr sebagai sandaran gol Brazil. Jeneral tengah Chelsea, Moises Caicedo mengemudi jentera tengah La Tri.

Separuh masa pertama menyaksikan Brazil berusaha mencari gol pendahuluan menerusi Estevao, Richarlison dan Vinicius Jr.

Situasi ini mendorong penjaga gol Ecuador, Gonzalo Valle bekerja keras menafikan setiap percubaan yang direncana trio berkenaan.

Percubaan terbaik Selecao hadir pada minit ke-33 menerusi pemain tengah Manchester United, Casemiro. Malangnya, percubaan beliau gagal membuahkan hasil.

Kekentalan pertahanan tuan rumah menyerap asakan Brazil memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Selecao terus meningkatkan tekanan ke arah kubu pertahanan La Tri tetapi terus buntu mendapatkan gol.

Situasi ini mendorong Ancelotti memasukkan bintang baharu United, Matheus Cunha, Gabriel Martinelli dan Andrey Santos untuk mengubah momentum perlawanan.

Percubaan terbaik pelawat hadir pada minit ke-76 menerusi Casemiro. Malangnya, Valle terus menjadi penghalang kepada Brazil menjaringkan gol.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Ecuador dan Brazil kekal di tangga kedua dan keempat dengan 24 dan 22 mata.

Casemiro dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau mendapat markah 7.6, 0.1 mata mengatasi kapten La Tri, Piero Hincapie.

Selepas ini, Brazil akan menentang Paraguay pada 11 Jun. Ecuador pula akan menentang Peru pada hari yang sama.