Pemain import Bali United, Elias Dolah kagum dengan kualiti dan persembahan yang dipamerkan pasukan Terengganu.
Selepas meraih keputusan seri ketika bertemu Terengganu di pentas Piala AFC malam semalam, bek tengah Thailand ini akui sedikit kecewa tidak dapat mengutip tiga mata di laman sendiri.
Elias bagaimanapun yakin dengan kemampuan rakan sepasukan untuk kembali bangkit mencatat kemenangan dalam aksi seterusnya.
“Kami kecewa tak dapat kumpul tiga mata, kami mendahului perlawanan awal tapi akhirnya dibolosi. Pemain sudah berikan yang terbaik.”
Berkata kepada wartawan MakanBola Faris Zukeiman, Elias teruja melihat perkembangan semasa Liga Malaysia yang kini dibanjiri pemain-pemain yang hebat.
“Satu perkara yang bagus kerana kita dapat lawan dengan kelab dari Malaysia. Kita semua tahu Liga Malaysia amat kompetetif.”
“Ramai pemain-pemain hebat di Malaysia, kelab-kelabnya juga bagus. Bertemu Terengganu bagus tapi kami kecewa tidak dapat menang di laman sendiri,” ujar Elias Dolah.
Pasukan Terengganu berjaya bangkit dan mengikat Bali United dengan keputusan 1-1 pada aksi kedua saingan Kumpulan G Piala AFC 2023. Bali United akan meneruskan dua siri perlawanan Liga Indoensia sebelum kembali ke Piala AFC berdepan Central Coast Mariners pada 26 Oktober kelak.