Bek tengah muda Indonesia, Elkan Baggott bakal berpeluang beraksi di Liga Kejohanan EFL (divisyen kedua England) pada musim hadapan.
Ini selepas kelabnya, Ipswich Town telah mendedahkan senarai pemain yang bakal beraksi dalam divisyen itu untuk musim 2023-2024. Baggott, 20, bakal menyarung jersi nombor 26.
Beliau sebelum ini beraksi secara pinjaman bersama Gillingham dan Cheltenham Town musim lepas. Pengalaman beraksi bersama dua pasukan itu dimanfaatkan beliau semasa pra-musim untuk memikat hati jurulatih Tractor Boys, Kieran McKenna.
Salah satu daripadanya ialah aksi persahabatan pra-musim Ipswich menentang pasukan gergasi Jerman, RB Leipzig dalam Piala Innsbruck beberapa hari lepas.
Baggott mendapat pujian ramai kerana tenang mengemudi pertahanan Tractor Boys daripada menjadi mangsa jentera serangan Die Rotten Bullen diketuai Benjamin Sesko dan Yussuf Poulsen.
Sesetengah peminat Indonesia bimbang bek tengah muda Tim Garuda ini akan dipinjamkan ke pasukan lain memandangkan tetingkap perpindahan England dan Scotland dibuka sehingga 1 September ini.
Ini selepas akhbar East Anglian Daily Times melaporkan kelab Stevanage mahu mendapatkan khidmat Baggott secara pinjaman.
Bagaimanapun, dengan Ipswich masih belum mendapatkan bek tengah baru, tidak mustahil McKenna akan memberi peluang kepada beliau untuk menyinar dalam kesebelasan utama.