Pemain tengah Terengganu, Engku Shakir dan pertahanan Penang, Adib Ra’op antara enam pemain yang berjaya memikat hati ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.
Pada Khamis, Malaysia mengumumkan barisan 26 pemain terbaik untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 bertemu Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada Jun.
Daripada senarai tersebut, beberapa nama sudah menepati jangkaan apabila dipanggil memperkuat pasukan seperti Ahmad Syihan Hazmi, Brendan Gan, Darren Lok dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, terdapat enam nama yang mencuri perhatian para peminat bola sepak tempatan yang turut mendapat panggilan kem kebangsaan dan ada di antaranya yang pertama kali dipanggil.
Pertahanan Penang FC, Adib Ra’op antara muka baharu yang diumumkan setelah mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Harimau Kumbang di posisi bek kiri.
Selain itu, Engku Shakir yang merupakan pemain tengah Terengganu FC juga antara yang dipanggil untuk menambah pilihan di bahagian jentera tengah Harimau Malaya.
Empat pemain lain ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC) dan Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC).
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.