England terpaksa meneruskan kempen Piala Dunia tanpa kelibat bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson.
Sebelum ini, ramai penyokong The Three Lions merasa bimbang dengan status kecergasan pemain berusia 36 tahun itu.
Ini selepas Henderson mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan akibat terjatuh selepas perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia menentang Mexico.
Pemain tengah Brentford itu terjatuh melepasi papan iklan di Stadium Azteca. Henderson kemudiannya menerima rawatan di tepi padang dan diberi bantuan oksigen sebelum dikejarkan ke hospital.
Apabila ditanya tentang situasi pemain tengah veteran itu, pengurus England, Thomas Tuchel mengakui bimbang dengan tahap kecederaan yang dialami Henderson.
“Sudah tentu perasaan bercampur baur kerana saya keletihan dan emosi tetapi juga sedih kerana Jordan cedera,” katanya selepas perlawanan.
“Beliau cedera pada bahagian pergelangan tangannya. Beliau kini berada di hospital, jadi ia kecederaan yang agak serius.
“Ia tidak sesuai dengan petang di mana Jordan tidak bersama kita. Saya tidak tahu prosedur apa yang sedang berlaku. Saya baru sahaja melakukan tugasan media dan doktor memberitahu saya bahawa beliau berada di hospital.”
Kini, wartawan The Athletic, James Pearce memaklumkan Henderson kini perlu menjalani pembedahan di bahagian pergelangan tangan. Ini bermakna beliau bukan saja perlu melupakan kempen Piala Dunia bersama England.
Malah, Henderson juga bakal terlepas kempen awal musim 2026/27 bersama Brentford. Hal ini dijangka memaksa pengurus Brentford, Keith Andrews menilai pilihan pemain tengah yang ada sebelum memutuskan sama ada mencari pemain baharu atau sebaliknya.
England bakal bertemu Norway di peringkat suku akhir.