Enzo Maresca Dilantik Jurulatih Baharu Man City
MakanBola
Manchester City

Bekas pengurus Chelsea, Enzo Maresca sah memikul tugas sebagai pengurus baharu Man City.

Pelantikan jurulatih Itali berusia 46 tahun itu diumumkan pengurusan City menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi kelab berkenaan. Pengumuman ini menyaksikan Maresca menjadi pengganti tetap pengurus legenda Sepanyol, Pep Guardiola.

“Manchester City dengan sukacitanya mengesahkan pelantikan Enzo Maresca sebagai pengurus. Pengurus Itali itu menandatangani kontrak selama tiga tahun sehingga musim panas 2029.

“Bagi Maresca, ia akan menandakan tempoh ketiganya di kelab dan beliau tiba dengan penuh pengalaman dan kejayaan di peringkat elit,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sebaik pelantikan beliau disahkan, Maresca bersedia membantu The Citizens meneruskan era gemilang kelab itu yang dipelopori Guardiola.

“Ini akan menjadi tempoh ketiga saya di sini. Saya kenal kelab ini, saya tahu tuntutan dan saya tahu jangkaan.

“Kualiti orang yang bekerja di sini yang menjadikannya begitu istimewa. Dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi kepercayaan terhadap kebolehan saya.

“Saya tidak sabar untuk mula melatih pemain. Saya mahu kami menang, bermain bola sepak yang baik dan menikmati tekanan mewakili Manchester City,” katanya.

City melihat Maresca sebagai satu-satunya pilihan sebagai pengganti Guardiola. Ini kerana beliau bukan saja pernah membimbing skuad The Citizens Bawah 23 Tahun (B-23).

Malah, bekas jeneral tengah Sevilla itu pernah berkhidmat sebagai pembantu Guardiola dari 2022 hingga 2023. Ini menjadikan Maresca calon sesuai untuk meneruskan falsafah permainan legenda Barcelona itu.

Pelantikan beliau hanya dapat dimuktamadkan selepas City dan Chelsea mencapai persetujuan berhubung nilai pampasan Maresca. Bekas jurulatih Leicester City itu turut mencapai persetujuan dengan The Blues berhubung isu sama.

Semasa berada di Stamford Bridge, beliau membantu Chelsea meraih trofi Liga Konferens Europa UEFA (UECL) dan Piala Dunia Kelab serta layak ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Meskipun begitu, prestasi buruk pada pertengahan musim 2025/26 dan pertelagahan di belakang tabir mendorong beliau meninggalkan Stamford Bridge. The Blues kini dibimbing legenda Liverpool, Xabi Alonso untuk kempen musim 2026/27.