EPL: Arsenal Berpesta Gol Tewaskan Crystal Palace
EPL
Arsenal FC
Advertisements

Arsenal terus mengukuhkan kedudukannya di persada Liga Perdana Inggeris (EPL). Ini selepas anak-anak buah Mikel Arteta melakar kemenangan besar 4-1 ke atas kelab setempat dari London, Crystal Palace di Stadium Emirates hari ini.

Dengan Manchester City tidak beraksi minggu ini kerana komitmen suku akhir Piala FA, kemenangan amat penting hari ini bagi Arteta. Ini bagi memastikan jurang mata mereka dengan City yang menduduki tempat kedua terus dilebarkan.

Sebaik sepak mula, Arsenal tampil garang mengasak kubu pelawat. Begitupun, mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-28 untuk gol pembukaan menerusi pemain sayap Brazil, Gabriel Martinelli.

Advertisements

Bermula daripada Ben White, Bukayo Saka melarikan bola ke arah kotak penalti Palace sebelum melorongkan bola kepada Martinelli. Pemain sayap itu berjaya melepasi kawalan Joel Ward sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol pelawat, Joe Whitworth.

Tersentak, The Eagles cuba bangkit. Tetapi Gunners kemudiannya menambah jaringan menerusi Saka pada minit ke-43.

White dan Saka saling bertukar hantaran semasa melancarkan serangan balas sebelum pemain sayap England itu membuat tolakan mudah ke arah penjuru bawah gawang pelawat. Kedudukan 2-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Separuh masa kedua menyaksikan tuan rumah terus memburu gol ketiga. Hasilnya, Granit Xhaka mudah menyempurnakan hantaran Leandro Trossard pada minit ke-55 bagi melebarkan kelebihan Gunners.

Bagaimanapun, lapan minit selepas itu, bekas pemain Leicester City, Jeffrey Schlupp merapatkan jurang buat Palace menerusi satu tolakan mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Aaron Ramsdale.

Gol tersebut memberi keyakinan kepada Eagles untuk memburu gol seterusnya. Dan mereka hampir mendapatnya pada minit ke-72 menerusi Wilfred Zaha tetapi percubaannya tersasar.

Advertisements

Sebaliknya, tuan rumah pula yang menambah gol keempat pada minit ke-74 menerusi Saka selepas menerima hantaran pemain gantian, Kieran Tierney. Di sebalik dominasi Arsenal ke atas pelawat, keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini memperkukuh kedudukan Arsenal dengan kelebihan lapan mata di hadapan Manchester City. Sementara Palace yang menduduki tangga ke-12 pula kini risau kerana semakin hampir diheret ke pertarungan mengelak penyingkiran daripada EPL.

Dengan EPL berehat seketika kerana kalendar perlawanan antarabangsa, perlawanan seterusnya untuk Arsenal ialah menentang Leeds United pada 1 April. Manakala Eagles pula menentang Leicester City di Selhurst Park pada hari yang sama.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram