EPL: Arsenal Diikat Crystal Palace, Tangguh Keraian Liverpool
MakanBola
Crystal Palace FC

Arsenal menangguhkan keraian juara Liverpool meskipun sekadar seri 2-2 dengan Crystal Palace di Stadium Emirates.

The Gunners perlu menang atau seri jika mahu melewatkan keraian juara Liverpool. The Eagles pula perlu menang jika mahu memburu kelompok 10 pasukan terbaik liga.

Kedua-dua pasukan masing-masing membuat rombakan dalam kesebelasan utama. Ini disebabkan Arsenal fokus memburu slot final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Palace (final The Emirates FA Cup).

The Gunners memilih merehatkan Ben White dan Mikel Merino. Bekas bintang Arsenal, Eddie Nketiah mengetuai jentera serangan The Eagles.

Separuh masa pertama menyaksikan Arsenal terlebih dahulu di hadapan menerusi Jacob Kiwior pada minit ketiga.

Kiwior menanduk bola hantaran kapten, Martin Odegaard yang menewaskan penjaga gol pelawat, Dean Henderson.

Tersentak, Palace mula memburu gol penyamaan. Daichi Kamada hampir menyamakan kedudukan lima minit selepas itu tetapi percubaannya sekadar melepasi palang gol.

Kem The Eagles ceria apabila Eberichi Eze menyamakan kedudukan pada minit ke-27. Eze melepaskan rembatan voli yang deras menewaskan penjaga gol tuan rumah, David Raya.

Penyokong Arsenal kembali ceria apabila Leandro Trossard kembali meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-42.

Selepas berjaya melepasi cabaran pemain pertahanan Palace, Maxime Lacroix, Trossard melepaskan rembatan ke arah penjuru atas gawang. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Arsenal terus meningkatkan asakan untuk memburu gol tambahan tetapi tidak berhasil.

Situasi ini mendorong pengurus tuan rumah, Mikel Arteta memasukkan Bukayo Saka sebagai pengganti Raheem Sterling.

Pengurus Palace, Oliver Glasner turut membuat dua pertukaran pemain dengan memasukkan Ismaila Sarr dan Will Hughes.

Bek tengah England, Marc Guehi hampir menyamakan kedudukan buat The Eagles pada minit ke-67. Tandukan deras beliau ke arah gawang The Gunners pantas dinafikan Raya.

Gol penyamaan yang dicari pelawat akhirnya hadir pada minit ke-83 menerusi Jean-Philippe Mateta. Mateta melambungkan bola ke penjuru atas gawang Arsenal untuk gol ke-14 beliau musim ini.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Arsenal mengumpul 67 mata, 12 mata di belakang Liverpool. The Reds kini hanya perlu seri dengan Tottenham Hotspur pada 26 April untuk bergelar juara.

Palace pula kekal di tangga ke-12 dengan 45 mata. Sofascore memilih Kiwior sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.1.

Selepas ini, The Gunners akan menentang Paris Saint-Germain untuk aksi separuh akhir UCL pada 30 April. Palace pula akan menentang Aston Villa untuk aksi separuh akhir The Emirates FA Cup pada 27 April.