Advertisements
EPL: Arsenal Gah Belasah Crystal Palace
EPL
MakanBola
EPL

Arsenal gah pamer aksi berbisa untuk menewaskan Crystal Palace di Stadium Emirates.

Arsenal memenangi aksi terakhir bertemu Crystal Palace di laman Selhust Park menerusi kemenangan tipis 1-0. The Gunners tampil bermain formasi 4-3-3 dengan menurunkan trio Bukayo Saka, Gabriel Jesus dan Leandro Trossard dibahagian jentera serangan.

Crystal Palace pula menerapkan formasi 3-4-3 dan menagih kudrat pemain serangan seperti Eberechi Eze, Jean-Philippe Mateta dan Jeffrey Schlupp.

Arsenal bermula garang apabila Gabriel tenang menanduk masuk bola hantaran pemain tengah Declan Rice pada minit ke-11.

Anak buah kendalian Mikel Arteta jelas menguasai perlawanan pada babak pertama namun Crystal Palace turut beberapa kali berjaya melakukan percubaan terhadap Arsenal.

Gabriel Jesus hampir menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-37 perlawanan namun pengadil menilai gol tersebut hasil jaringan sendiri penjaga gol Crystal Palace, Dean Henderson.

Babak pertama tamat dengan Arsenal mendahului pelawat Crystal Palace dengan jaringan 2-0.

Memasuki babak kedua, Crystal Palace cuba mencari gol pertama mereka dalam aksi ini namun serangan balas Arsenal menambah duka The Eagles apabila Leandro Trossard menjaringkan gol ketiga pada minit ke-59.

Gabriel Martinelli melengkapkan kemenangan sempurna Arsenal apabila tampil menjaringkan dua gol pada masa tambahan.

Anak buah Roy Hodgson ternyata gagal mengatasi persembahan cemerlang Arsenal yang menonjolkan kualiti penyudah mereka.

21 percubaan dilancarkan oleh Arsenal manakala Crystal Palace melakukan 12 percubaan dalam perlawanan ini.

Tamat perlawanan, Arsenal menewaskan Crystal Palace dengan jaringan 5-0 untuk meraih tiga mata berharga. Kemenangan ini membangkitkan kembali semangat Arsenal yang sebelum ini tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tewas 2-0 kepada Liverpool.