EPL: Arsenal Mengamuk Di Stadium Emirates Atasi Chelsea
EPL
Arsenal FC
Advertisements

Arsenal terus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mudah membelasah seteru setempat, Chelsea pada awal pagi Rabu.

Chelsea turun tanpa beberapa pemain utama seperti penjaring terbanyak pasukan, Cole Palmer, Malo Gusto dan Ben Chilwell yang dilaporkan tidak cergas sebelum perlawanan dan menyenaraikan pemain-pemain muda di bangku simpanan.

Manakala Arsenal pula membariskan pemain-pemain terbaik mereka dalam misi meraih tiga mata bagi memberi tekanan hebat buat dua lagi pencabar kejuaraan iaitu Manchester City dan Liverpool.

Advertisements

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk memimpin perlawanan menerusi rembatan kencang kaki kiri Leandro Trossard yang gagal diselamatkan penjaga gol Chelsea, Djordje Petrovic seawal minit keempat.

Seakan tersentak, jentera serangan The Blues yang diketuai pemain Senegal, Nicolas Jackson terus merencana strategi terbaik bagi mencari jaringan penyamaan namun tidak berhasil.

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak Arsenal.

Advertisements

Kembali dari rehat, Arsenal terus menambah jaringan menerusi bek kanan pasukan, Ben White tujuh minit bersambung babak kedua sekaligus menceriakan penyokong tuan rumah yang hadir ke stadium.

Bekas pemain Chelsea, Kai Havertz meledak dua jaringan dalam tempoh lapan minit apabila penyerang Jerman itu mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-57 dan 65 permainan.

Lima minit kemudian, Ben White sekali lagi jadi wira The Gunners dengan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini hasil umpanan cantik Martin Odegaard untuk menewaskan Petrovic buat kali kelima.

Advertisements

Aksi di Stadium Emirates berakhir dengan kemenangan besar 5-0 memihak Arsenal.

Keputusan ini memastikan kedudukan Arsenal di tangga pertama liga tidak diganggu dengan 77 mata, tiga mata di hadapan Liverpool yang masih kekurangan satu perlawanan di tempat kedua manakala Chelsea kekal di tangga kesembilan dengan 47 mata.

Aksi liga seterusnya menyaksikan North London Derby di antara Arsenal dan Tottenham Hotspurs bakal menjadi tumpuan manakala Chelsea pula akan bertandang ke Villa Park untuk berdepan Aston Villa.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram