Arsenal membuka kalendar tahun 2025 dengan mencatatkan kemenangan bergaya ke atas pasukan Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Setelah mengakhiri 2024 di tangga kedua liga, Arsenal bakal memulakan aksi di tahun 2025 ini berdepan Brentford yang masih buntu mencari kemenangan dalam 4 aksi terakhir liga.
Kesebelasan utama Arsenal dibarisi pemain terbaik meskipun tanpa adanya Bukayo dan juga Saka Kai Havertz sementara gandingan Bryan Mbeumo dan Yoane Wissa menjadi taruhan utama Brentford.
Seawal minit ke-13, Brentford terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi percubaan leret Bryan Mbeumo dari sudut sukar yang berjaya menewaskan penjaga gol Arsenal, David Raya.
Gawang Arsenal sekali lagi diuji hebat di minit ke-28 apabila bola rembatan pemain Brentford, Lewis-Potter terlepas dari dakapan Raya dan hampir bergolek masuk sebelum ditolak keluar.
Seminit kemudian, Gabriel Jesus menyamakan kedudukan 1-1 buat Arsenal setelah mudah menanduk masuk bola muntah daripada percubaan jarak jauh oleh tonggak tengah, Thomas Partey.
Separuh masa pertama tamat, Brentford 1-1 Arsenal.
Kembali dari rehat, pelawat berada di hadapan setelah Mikel Merino dengan tenang memanfaatkan keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti Brentford untuk menyumbat gol kedua Arsenal.
3 minit kemudian, skuad bimbingan Mikel Arteta terus selesa mendahului apabila giliran Gabriel Martinelli mencetak nama selaku penjaring dengan satu voli menewaskan Mark Flekken buat kali ke-3.
Aksi di Brentford Community Stadium berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Arsenal.
Saingan EPL selepas ini menyaksikan Arsenal bakal bertemu Brighton di Stadium Amex sementara Brentford dijadualkan berdepan kelab tercorot liga, Southampton di tempat lawan.