Kelab gergasi London, Chelsea terus dibelenggu prestasi tidak menentu apabila tunduk 1-0 kepada Aston Villa di Stamford Bridge hari ini.
Selepas diikat tanpa jaringan dengan Bournemouth, Mauricio Pochettino amat memerlukan kemenangan bagi memberi keyakinan kepada barisan pemain muda The Blues.
Atas sebab itu, Chelsea terus melancarkan serangan ke atas Villa sebaik sepak mula. Begitupun, The Villains terlebih dulu menguji Robert Sanchez pada minit ke-20 tetapi percubaan Lucas Digne berjaya ditepis beliau.
Villa cemas apabila tuan rumah menyangka mendahului pada minit ke-44 menerusi Axel Disasi. Begitupun, keraian penyokong Chelsea tidak bertahan lama apabila gol itu dibatalkan kerana ofsaid.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol bagi mendapatkan kemenangan.
Chelsea ditimpa malang apabila bek kanan muda, Malo Gusto dibuang padang pada minit ke-58. Ini selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan Gusto terhadap Digne.
Selepas merujuk insiden berkenaan dengan VAR, pengadil Jarred Gillett membatalkan kad kuning yang dilayangkan terhadap bek kanan Perancis itu sebelum melayangkan kad merah.
Kelebihan ini segera dimanfaatkan Villa yang memburu gol. Hasilnya, Ollie Watkins berjaya mengatasi cabaran Levi Colwill sebelum menyepak bola melepasi kaki Sanchez pada minit ke-73.
The Blues cuba bangkit tetapi penyudah tumpul terus menghampakan usaha mereka. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Chelsea berada di tangga ke-14 dengan lima mata. Sementara Aston Villa pula melonjak ke tangga keenam dengan 12 mata.
The Villains selepas ini bakal melayan kunjungan Brighton pada 30 September. Sementara The Blues pula bertandang ke Craven Cottage untuk menentang Fulham pada awal pagi 3 Oktober.