Advertisement
EPL: Bisa Pertahanan Bantu Manchester City Atasi Wolves
EPL
MakanBola
Manchester City

Manchester City terus mencabar kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya menewaskan Wolverhampton Wanderers di gelanggang lawan pada Ahad.

City di bawah kendalian Pep Guardiola menurunkan barisan terkuat dengan Erling Haaland diletakkan sebagai harapan utama di bahagian serangan manakala Wolves pula mempertaruhkan Jorgen Strand Larsen untuk mencetak gol.

Perlawanan dimulakan dengan gerakan positif dilancarkan tuan rumah dalam mencari jaringan di awal permainan.

Ternyata ianya membawa hasil yang diinginkan apabila Wolves hanya memerlukan 8 minit sahaja untuk berada di hadapan melalui penyudah Jorgen Strand Larsen yang menyudahkan hantaran Nelson Semedo.

Tersentak dengan jaringan awal Wolves, Man City memperkemaskan rentak permainan dengan cuba mengawal permainan dari bawah.

Serangan demi serangan City akhirnya membawa hasil lumayan apabila pertahanan kebal mereka, Josko Gvardiol menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-33 menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Jaringan tersebut menambahkan keyakinan buat City untuk mencari jaringan seterusnya.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung pada babak kedua, City meneruskan penguasaan bola dengan hantaran-hantaran pendek yang tepat di kalangan pemain mereka.

 Matheus Cunha hampir mengejutkan Manchester City dengan rembatannya pada minit ke-57 hampir membuahkan jaringan buat Wolves namun sedikit tersasar.

Ketika perlawanan hampir ditamatkan dengan kedudukan 1-1, seorang lagi pemain pertahanan, John Stones menjadi wira buat City apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memberikan kemenangan 2-1 buat City di arena lawan.

Kemenangan itu meletakkan Man City kekal di tangga kedua EPL dengan mengumpul 20 mata selepas 8 perlawanan dan dibezakan satu mata sahaja dengan pendahulu, Liverpool.