Advertising
EPL: Chelsea Bangkit Penuh Bergaya Tumbangkan Tottenham Hotspurs
EPL
MakanBola
Premier League

Perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini menyaksikan Chelsea bangkit dengan bergaya meneruskan untuk menumbangkan Tottenham Hotspurs di laman lawan.

Setelah kebal dalam 7 perlawanan sebelum ini, Chelsea yang menghuni tangga kedua liga bakal berdepan jiran setempat, Tottenham Hotspurs yang gagal meraih kemenangan dalam 3 aksi terakhir.

Chelsea turun dengan formasi 4-2-3-1 sambil meletakkan Moises Caicedo di posisi bek kanan sementara Tottenham Hotspurs pula diketuai oleh pemain sayap kiri Korea, Son Heung-min.

Ad

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk menembusi gawang Chelsea apabila Dominic Solanke menyambar hantaran rakan sepasukan, Brennan Johnson sekaligus menewaskan Robert Sanchez pada minit ke-5.

Enam minit berselang, penyokong Spurs terus ceria setelah Dejan Kulusevski mencetak nama selaku penjaring dengan satu rembatan deras kaki kiri yang menemui di penjuru kiri pintu gol The Blues.

Ad
Ad

Respon pantas dari Chelsea dengan jaringan pertama buat pelawat pada minit ke-17 hasil tendangan jarak jauh Jadon Sancho untuk merapatkan kedudukan seketika untuk anak didik Enzo Maresca.

Ad

Separuh masa pertama, Tottenham Hotspurs 2-1 Chelsea.

Memasuki babak kedua, The Blues langsung meningkatkan intensiti permainan dan memperoleh sepakan penalti dari pengadil, Anthony Taylor akibat terjahan oleh pemain Spurs, Yves Bissouma.

Tugasan mengambil sepakan penalti itu disudahkan dengan tenang, tidak lain dan tidak bukan, Cole Palmer pada minit ke-61, membuatkan Chelsea dan Spurs kembali terikat 2-2 ketika itu.

Kemuncak kebangkitan Chelsea pada aksi ini dijelmakan oleh tonggak tengah, Enzo Fernandez pada minit ke-73 menerusi satu rembatan yang menewaskan Fraser Forster buat kali ke-3.

Ketika aksi berbaki 6 minit, Chelsea terus menambah derita tuan rumah dengan jaringan keempat oleh ayam tambatan, Cole Palmer sekaligus menghampakan penyokong Spurs yang hadir ke stadium.

Son Heung-min cuba merapatkan kedudukan 3-4 buat Spurs namun jaringan bintang Korea itu tidak cukup untuk pasukan bimbingan Ange Postecoglou meraih satu mata menentang Chelsea.

Aksi di Tottenham Hotspurs Stadium berakhir dengan 4-3 memihak pasukan Chelsea.

Saingan EPL minggu hadapan menyaksikan Chelsea bakal melayani kedatangan Brentford di Stamford Bridge tatkala Spurs akan berkunjung ke laman Southampton.