Advertising
EPL: Chelsea Kembali Bangkit, Jinakkan West Ham
MakanBola
Chelsea FC

Chelsea bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih kemenangan 2-1 ke atas West Ham United di Stamford Bridge.

The Blues mahu bangkit selepas dikecewakan Manchester City 3-1. The Hammers turut berkongsi matlamat sama selepas mengikat Aston Villa 1-1.

Filip Jorgensen diberi peluang mengawal gawang Chelsea menggantikan Robert Sanchez. Kapten West Ham, Jarrod Bowen kembali dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Chelsea menyangka mereka patut dianugerahkan sepakan penalti pada minit kelapan. Ini selepas Marc Cucurella dijatuhkan Emerson Palmieri dalam kotak penalti.

Walau bagaimanapun, penyokong The Blues hampa apabila pengadil, Stuart Attwell memilih tidak memberikan penalti kepada tuan rumah.

Ad
Ad

Noni Madueke hampir meletakkan Chelsea di hadapan pada minit ke-15 selepas menerima hantaran Nicolas Jackson. Percubaan bekas pemain sayap PSV Eindhoven itu tersasar.

Ad

Tiga minit selepas itu, giliran West Ham pula menguji kecekapan Jorgensen menerusi Bowen. Penjaga gol Denmark itu pantas menafikan percubaan pemain sayap England itu.

Tatkala Chelsea terus memberi tekanan ke atas pelawat, The Hammers terlebih dahulu di hadapan menerusi Bowen pada minit ke-42. Kesilapan Levi Colwill dihukum pemain berusia 28 tahun itu sebelum menewaskan Jorgensen.

Tersentak, The Blues meningkatkan asakan ke atas kubu pertahanan West Ham. Malangnya, barisan pertahanan pelawat kental mempertahankan kelebihan 1-0 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, pengurus Chelsea, Enzo Maresca memasukkan Marc Guiu dan Pedro Neto menggantikan Jackson dan Jadon Sancho.

Walau bagaimanapun, The Blues bernasib baik tidak ketinggalan buat kali kedua pada minit ke-60. Bowen terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan tuan rumah sebelum percubaannya disekat.

Gol penyamaan yang dicari akhirnya muncul empat minit selepas itu. Percubaan voli Enzo Fernandez disekat Alphonse Areola tetapi bola pantas ditolak Neto masuk ke dalam gawang West Ham.

Chelsea meraih gol kemenangan 10 minit selepas itu menerusi gol sendiri Aaron Wan-Bissaka. Bekas bek kanan Manchester United itu bernasib malang kerana bola sepakan Cole Palmer terkena beliau sebelum menewaskan Areola.

West Ham menyangka dapat meraih gol penyamaan menerusi Mohammed Kudus pada minit akhir perlawanan. Malangnya, percubaan beliau disekat bek tengah Chelsea, Tosin Adarabioyo.

Keputusan ini menyaksikan Chelsea di tangga keempat dengan 43 mata. The Hammers pula di tangga ke-15 dengan 27 mata.

Sofascore memilih Palmer sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0. Beliau mengatasi cabaran Bowen yang meraih markah 7.8.

The Blues bakal menentang Brighton pada 9 Februari untuk aksi The Emirates FA Cup. West Ham pula akan menentang Brentford untuk aksi liga seterusnya pada 15 Februari.