Kesilapan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez membantu Man City meraih kemenangan 3-1 di Stadium Etihad.
Selepas tewas 4-2 kepada Paris Saint-Germain dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL), City mahu bangkit semula meraih kemenangan. Chelsea pula mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Wolves 3-1.
The Citizens memberi penampilan pertama kepada dua pemain baru mereka iaitu Omar Marmoush dan Abdukodir Khusanov. The Blues pula memilih menurunkan bekas graduan City, Jadon Sancho di bahagian serangan.
Separuh masa pertama menyaksikan Chelsea meraih kelebihan awal di Stadium Etihad seawal minit ketiga.
Cubaan Khusanov menghantar bola kembali kepada Ederson pantas dipintas Noni Madueke sebelum menolak bola ke dalam gawang tuan rumah yang kosong.
Tersentak, City bangkit memburu gol penyamaan. Marmoush menyangka sudah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-30 tetapi dibatalkan atas kesalahan ofsaid.
Gol penyamaan yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-43 menerusi Josep Gvardiol. Gvardiol mengambil kesempatan daripada pelanggaran Sanchez dan Marc Cucurella untuk melambungkan bola dalam gawang pelawat yang kosong.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih City, Pep Guardiola memilih memasukkan John Stones sebagai pengganti Khusanov pada minit ke-54.
City akhirnya mendapat gol kedua menerusi Erling Haaland pada minit ke-68. Tindakan Sanchez keluar dari gawang Chelsea membawa padah di mana ini memudahkan penyerang Norway itu melambungkan bola ke dalam gawang kosong pelawat.
Situasi ini mendorong jurulatih Chelsea, Enzo Maresca memasukkan Malo Gusto dan Pedro Neto untuk cuba mengubah momentum perlawanan.
Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, Phil Foden mudah menyempurnakan hantaran Kevin de Bruyne pada minit ke-87 bagi memastikan kemenangan milik City.
Keputusan ini menyaksikan The Citizens kembali berada di tangga keempat dengan 41 mata. The Blues pula jatuh ke tangga keenam dengan 40 mata.
Sofascore memilih Haaland sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.7. Haaland mengatasi cabaran Gvardiol dan Matheus Nunes yang masing-masing meraih 7.7 dan 7.6 mata.
Selepas ini, City kembali mengalihkan fokus kepada aksi UCL menentang FC Brugge pada 30 Januari. Chelsea pula bersedia melayan kunjungan bos lama mereka, Graham Potter dan West Ham pada 4 Februari.