Advertising
UCL: Man City Di Ambang Penyingkiran, Tewas Kepada PSG
MakanBola
Manchester City

Man City kini di ambang penyingkiran Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas tewas 4-2 kepada PSG.

Kedua-dua pasukan membawa misi wajib menang. Ini kerana kegagalan meraih tiga mata penuh boleh menyebabkan mereka tersingkir dan terlepas peluang mara menerusi pusingan play-off.

Gandingan Lee Kang-in, Bradley Barcola dan Desire Doue menjadi pilihan pengurus PSG, Luis Enrique. Erling Haaland terus menjadi pilihan Pep Guardiola untuk merobek gawang tuan rumah.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan PSG lebih banyak menguasai bola di Parc des Princes. Doue menguji Ederson seawal minit pertama tetapi berjaya dinafikan penjaga gol City itu.

Pemain perancang Belgium, Kevin de Bruyne hampir meletakkan The Citizens di hadapan 12 minit selepas itu. Usaha beliau dinafikan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnaruma.

Ad
Ad

Pemain pertahanan Croatia, Josep Gvardiol memastikan kedudukan kedua-dua pasukan kekal tanpa jaringan pada minit ke-27. Ini selepas beliau berjaya mengeluarkan bola Fabian Ruiz daripada melepasi garisan gol City.

Ad

Kem PSG menyangka mereka mendahului pada minit ke-45 menerusi Achraf Hakimi. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Kedua-dua pasukan terus memburu gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan melakukan pertukaran pemain. Enrique memasukkan Ousmane Dembele menggantikan Kang-in.

Guardiola pula memilih memasukkan Rico Lewis dan Jack Grealish dengan tujuan menyuntik kreativiti dalam bahagian serangan City.

Grealish pantas mempamerkan impak apabila meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-50. Donnaruma tidak berupaya menghalang rembatan voli pemain sayap England itu dari jarak dekat.

Tiga minit kemudian, giliran Haaland mencipta nama sebagai penjaring. Penjaring terbanyak City itu mudah menyempurnakan hantaran Matheus Nunes untuk meletakkan City mendahului 2-0.

Keceriaan kem The Citizens tidak bertahan lama apabila Dembele merapatkan jurang pada minit ke-56. Larian pantas Barcola gagal dikejar Nunes sebelum membuat hantaran yang disudahkan pemain sayap Perancis itu.

Sorakan penyokong PSG bergema di Parc des Princes apabila Barcola menyamakan kedudukan lima minit selepas itu. Bekas pemain sayap Olympique Lyon itu pantas menyudahkan bola rembatan jarak jauh Doue yang terkena palang melepasi Ederson.

Joao Neves memastikan tiga mata penuh menjadi milik tuan rumah pada minit ke-79. Bintang Portugal itu berjaya menanduk bola melepasi Ederson bagi menjadikan kedudukan PSG 3-2.

Goncalo Ramos menyumbat gol keempat tuan rumah pada minit akhir perlawanan. Meskipun gol tersebut pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, VAR mengesahkan gol berkenaan.

The Citizens berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan City kini di ambang penyingkiran UCL apabila berada di tangga ke-25 dengan lapan mata.

PSG pula kini berada di tangga ke-23 dengan 10 mata. City perlu menang dalam aksi terakhir liga UCL jika ingin mara ke pusingan seterusnya menerusi pusingan play-off.

Sofascore memilih Barcola sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.6. Beliau mengatasi cabaran Dembele dan Neves masing-masing meraih 8.3 dan 8.0 mata.

Selepas ini, PSG bakal berdepan Reims dalam saingan Ligue 1 pada awal pagi 26 Januari. City bakal berdepan satu lagi aksi sukar apabila menentang Chelsea pada awal pagi hari yang sama.