Advertising
EPL: Chelsea Tamat Penantian, Tundukkan Wolves
MakanBola
Chelsea FC

Chelsea mengakhiri kemarau lima perlawanan liga tanpa kemenangan dengan menewaskan Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge.

Kedua-dua pasukan terdesak mendapatkan kemenangan. Chelsea diikat Bournemouth 2-2 dalam aksi sebelumnya dengan Wolves pula tewas 3-1 di tangan Newcastle United.

Trevoh Chalobah kembali berada dalam kesebelasan utama The Blues selepas meninggalkan pasukan pinjamannya, Crystal Palace. Jorgen Strand Larsen terus menjadi sandaran gol pengurus pasukan pelawat, Vitor Pereira.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Chelsea berusaha mencari gol awal dengan sokongan padu penyokong di Stamford Bridge.

Penjaga gol Wolves, Jose Sa pantas bertindak menafikan rembatan deras pemain perancang England, Cole Palmer pada minit ke-17.

Ad
Ad

Gawang Sa akhirnya bocor tujuh minit selepas itu. Reece James melakukan rembatan ke arah gawang Wolves dengan Tosin Adarabioyo menolak bola menerjah jaring.

Ad

Pada awalnya, gol tersebut dibatalkan pembantu pengadil kerana kesalahan ofsaid. Kem Chelsea kemudiannya ceria apabila pegawai VAR, Matt Donohue mengesahkan gol tersebut.

Tatkala tuan rumah menyangka mereka meraih kelebihan 1-0 sehingga rehat, Matt Doherty memastikan Wolves mengikat kedudukan 1-1 pada minit akhir babak pertama.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan terus meningkatkan asakan untuk mendapatkan gol kedua.

Chelsea akhirnya meraih gol kedua menerusi bek kiri Sepanyol, Marc Cucurella. Selepas menerima hantaran Kiernan Dewsburry-Hall, Cucurella melepaskan rembatan yang menewaskan Sa pada minit ke-60.

Lima minit kemudian, giliran Noni Madueke pula mencipta nama sebagai penjaring. Pemain sayap muda England itu memanfaatkan kesilapan Sa untuk menanduk gol ketiga The Blues.

Wolves kemudiannya membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat mengubah momentum permainan. Walau bagaimanapun, keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Chelsea kini di tangga keempat dengan 40 mata, empat mata di belakang Arsenal dan Nottingham Forest. Wolves pula di tangga ke-17 dengan 16 mata.

Sofascore memilih Chalobah sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.4. Beliau mengatasi cabaran James dan Doherty yang masing-masing mendapat 7.9 dan 7.6.

Selepas ini, Chelsea bakal berdepan Manchester City di Stadium Etihad pada 26 Januari. Wolves pula bakal diuji Arsenal di Molineux pada 25 Januari.