EPL: Chelsea Kembali Ke UCL, Nottingham Forest ‘Gigit Jari’
MakanBola
Premier League

Chelsea memastikan tempat ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim hadapan setelah menewaskan Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.

Pertembungan kedua-dua kelab ini menjadi tumpuan ketika mana Chelsea berada di tangga ke-5 dan Forest menghuni kedudukan ke-7 tatkala hanya dipisahkan dengan satu mata.

Pedro Neto ditugaskan mengambil tempat Nicolas Jackson di posisi penyerang Chelsea manakala Forest pula pertaruh trio berbisa ditunjangi Gibss-White, Elanga dan Chris Wood.

Sejak wisel permulaan, tuan rumah tampak lebih bertenaga mengasak kubu Chelsea dengan beberapa hantaran pendek dalam usaha memecahkan benteng lawan diketuai oleh Marc Cucurella.

Namun, Chelsea turut mengambil kesempatan bagi melancar serangan dan nyaris mencetak jaringan menerusi Pedro Neto akan tetapi tampanan pemain Portugal itu sekadar melepasi gawang.

Penyerang kebangsaan New Zealand, Chris Wood juga miliki peluang terbaik untuk menghasilkan gol buat Forest namun penyudah yang tumpul gagal menterjamahkan dalam bentuk jaringan.

Separuh masa pertama tamat, Nottingham Forest 0-0 Chelsea.

Kembali dari rehat, Chelsea tidak perlu menunggu lama bagi membuka tirai jaringan setelah pertahanan, Levi Colwill yang tak dikawal mudah menolak bola ke gawang Forest di minit ke-50.

Usaha tanpa henti kedua-dua pasukan bagaimanapun tidak berhasil untuk membuahkan jaringan meskipun dihidangkan dengan siri peluang sehingga permainan selama 98 minit ini tamat.

Aksi di Stadium City Ground berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Chelsea.

Dengan keputusan ini, Chelsea mengakhiri musim di tangga ke-4 dengan mengutip 69 mata dan kembali ke UCL setelah Newcastle dan Aston Villa kecundang kepada lawan masing-masing.

Manakala Nottingham Forest pula akur berada di kedudukan ke-7 EPL dengan mengumpul 65 mata dan bakal beraksi di pusingan Kelayakan UEFA Conference League (UECL) pada musim hadapan.