Biarpun beraksi di Stamford Bridge, kelebihan itu gagal dimanfaatkan kelab gergasi EPL, Chelsea apabila mereka tewas mengejut kepada Nottingham Forest hari ini.
Selepas dua kali tewas di tempat lawan termasuk di tangan Manchester United minggu lepas, Tricky Trees tidak mahu kecewa lagi. Manakala The Blues pula berharap dapat merekodkan kemenangan kedua dalam empat perlawanan liga.
Babak pertama menyaksikan Chelsea bergelut menembusi gawang pasukan pelawat. Ini disebabkan pengurus Forest, Steve Cooper terus setia menggunakan formasi 3-5-2 yang mampu menyerap asakan pihak lawan.
Percubaan terbaik The Blues hadir pada minit ke-15 menerusi percubaan jarak jauh Conor Gallagher. Bagaimanapun, percubaannya langsung tidak membahayakan gawang Forest yang dikawal Matt Turner.
Bersambung pada babak kedua, Tricky Trees mencipta kejutan dengan mendahului menerusi Anthony Elanga pada minit ke-48.
Bekas pemain sayap Manchester United itu berjaya mengatasi cabaran Enzo Fernandez dan Moises Caicedo sebelum tenang menewaskan Robert Sanchez.
Tersentak, pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino memasukkan pemain terbaru mereka, Cole Palmer dan Noni Madueke untuk mengubah momentum perlawanan.
Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-82 menerusi Nicolas Jackson selepas menerima hantaran Raheem Sterling. Bagaimanapun, pertahanan pelawat menghela nafas lega kerana bola percubaannya melayang tinggi.
Begitupun, tuan rumah terus buntu mencipta jaringan dengan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini kemenangan pertama Tricky Trees ke atas Chelsea sejak Januari 1995.
Kemenangan ini melonjakkan Forest ke tangga kesembilan liga dengan enam mata. Manakala The Blues pula berada di tangga ke-11 selepas empat perlawanan.
Selepas ini, Chelsea bakal bertandang ke Stadium Vitality untuk menentang Bournemouth pada 17 September. Manakala Forest melayan kunjungan pendatang baru liga, Burnley pada 19 September.