EPL: Deretan Penalti Bantu Chelsea Jinakkan Wolves
MakanBola
Chelsea FC

Chelsea tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran Wolves tatkala deretan sepakan penalti hiasi pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) ini.

Bermain di tempat lawan tidak menjadi masalah buat Chelsea untuk menampilkan persembahan cemerlang lebih-lebih lagi selepas dihadiahkan tendangan penalti pada awal permainan oleh pengadil.

Joao Pedro yang mengawal bola di dalam kotak penalti telah dijatuhkan oleh pemain Wolves sebelum Cole Palmer dengan mudah menjalankan tugas bagi menjaringkan gol pertama di minit ke-13.

Tidak cukup dengan itu, pengadil sekali lagi memberikan tendangan penalti buat The Blues akibat kekasaran yang dilakukan oleh pertahanan Wolves ke atas Joao Pedro di dalam kawasan tuan rumah.

Cole Palmer sekali lagi menyudahkan tugasan tersebut bagi menambah kelebihan berganda buat Chelsea pada minit ke-35 hasil tendangan deras yang menewaskan Jose Sa di pintu gol.

Kedudukan 2-0 terus berubah 3 minit kemudian apabila Cole Palmer melengkapkan hatrik selepas menyempurnakan salah satu umpanan cantik oleh Marc Cucurella untuk gol ke-3 The Blues.

Tolu Arokodare sempat mencetak gol saguhati untuk Wolves namun itu semua sudah terlambat ketika mana Chelsea terus cemerlang mempertahankan kedudukan 3-1 sehingga tamat aksi.