EPL: Gol Minit Ke-93 Marcus Rashford Benam West Ham
EPL
Peter Powell/EPA
Advertisements

Beberapa minggu sebelumnya, ramai mengetahui penyerang Manchester United Marcus Rashford berdepan masalah kemerosotan prestasi yang teruk. Tetapi apa saja tonik yang diberi Ralf Rangnick kepada anak buahnya itu, ia kelihatan memberi kesan positif kepada beliau. Selepas menamatkan kemarau gol di Brentford, Rashford menjahanamkan West Ham dengan gol minit terakhirnya.

West Ham tahu dengan kemenangan di Old Trafford, mereka berpeluang mengekalkan kedudukan keempat liga. Bagi United pula, ini peluang merampas kedudukan keempat Hammers. Dengan Tottenham dan Arsenal beraksi pada hari esok, ini peluang terbaik yang tidak patut dilepaskan begitu saja.

Pada babak pertama, perlawanan kelihatan seimbang tetapi momentum serangan lebih memihak Red Devils. Minit awal perlawanan menyaksikan cubaan Mason Greenwood dihalang pertahanan West Ham. Begitu juga dengan cubaan Bruno Fernandes berjaya dikuis luar oleh pertahanan Hammers yang diterajui Craig Dawson dan Kurt Zouma.

Advertisements

Menjelang minit-minit akhir separuh masa pertama, Cristiano Ronaldo mendakwa dirinya dikasari dalam kotak penalti. Bagaimanapun, semakan VAR mendapati ia sukar ditentukan mencukupi untuk sepakan penalti. West Ham yang terdesak cuba menyerang menerusi Jarrod Bowen dan Michail Antonio. Namun begitu, Harry Maguire dan Raphael Varane bijak mengawal disiplin pertahanan United.

Skrip sama berulang pada babak kedua. Kedua-dua pasukan terus bertahan dengan baik sekaligus mematikan setiap peluang yang terhidang. Tetapi semua itu berubah apabila sepakan Fred berjaya ditepis pengganti Lukasz Fabianski, Alphonse Areola. Hammers cuba menguji kecekapan David de Gea menerusi sepakan percuma Aaron Cresswell tetapi ia berjaya ditanduk keluar Ronaldo.

West Ham sepatutnya mendahului menerusi tandukan ayam tambatan Czech mereka, Tomas Soucek. Bagaimanapun, ia berjaya ditangkis de Gea dengan cubaan gol sendiri Varane dapat ditangani dengan baik. Rangnick memasukkan Anthony Martial, Edinson Cavani dan Rashford untuk membantu Ronaldo menekan barisan pertahanan Hammers.

Advertisements

Ramai penyokong United menyangka perlawanan ini bakal berakhir dengan keputusan seri. Tetapi pada minit akhir perlawanan, Cavani berjaya memperdaya barisan pertahanan Hammers dengan membuat hantaran kepada Rashford. Gol minit ke-93 itu sudah cukup untuk menceriakan suasana di Old Trafford.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram