EPL: Hasrat Liverpool Ke UCL Berkecai, Seri Dengan Aston Villa
EPL
Liverpool FC
Advertisements

Peluang tipis Liverpool untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan tidak kesampaian hari ini. Ini selepas anak-anak buah Jurgen Klopp diikat Aston Villa 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield hari ini.

Memandangkan perlawanan hari ini merupakan perlawanan terakhir di tempat sendiri untuk musim 2022-2023, Reds pastinya mahu meraih satu lagi kemenangan bagi memberi tekanan kepada Manchester United dan Newcastle United. Ini kerana kedua-dua pasukan itu menduduki dua slot terakhir UCL untuk EPL.

Sebaik sepak mula, Liverpool berusaha memberi tekanan kepada pasukan pelawat yang dibimbing Unai Emery itu. Tetapi Villains merupakan pasukan yang liat untuk ditundukkan sejak diambil alih bekas pengurus Arsenal itu dan mempunyai cita-cita layak ke Eropah musim hadapan.

Advertisements

Dan itu dibuktikan pada minit ke-19 apabila penyerang utama Villa, Ollie Watkins dijatuhkan Ibrahima Konate dalam kotak penalti Liverpool. Biarpun cuba dibantah pemain-pemain Reds, pengadil John Brooks yang melihat insiden tersebut tetap berpegang dengan keputusannya itu.

Watkins yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti bagaimanapun hampa apabila sepakannya tersasar ke tepi gawang Reds. Tetapi keceriaan penyokong Liverpool tidak bertahan lama apabila rakan sepasukan Watkins, Jacob Ramsey menyumbat gol pertama Villa pada minit ke-27.

Tersentak, tuan rumah cuba bangkit melancarkan serangan ke atas pelawat. Tetapi barisan pertahanan Villa diketuai Tyrone Mings memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Liverpool sedar sekiranya keputusan kekal sehingga wisel penamat, itu sudah cukup bagi Manchester United dan Newcastle layak secara merit ke UCL. Atas sebab itu, Reds menggandakan serangan pada separuh masa kedua.

Dan tuan rumah menyangka telah menyamakan kedudukan menerusi Cody Gakpo pada minit ke-54. Bagaimanapun, penyokong di Anfield mengeluh kecewa apabila pembantu pengadil video (VAR) membatalkan gol tersebut selepas mengesan Virgil van Dijk dalam kedudukan offsaid.

Dengan jentera serangan Reds kelihatan buntu menembusi gawang pelawat yang dikawal Emiliano Martinez, Roberto Firmino, James Milner dan Kostas Tsimikas dimasukkan bagi menambah sengat serangan Reds. Malangnya, kemasukan tiga pemain ini masih gagal menyemarakkan kebangkitan yang dimahukan penyokong-penyokong Reds.

Advertisements

Tetapi akhirnya, Firmino berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi gol pada minit ke-90. Dengan 10 minit masa tambahan, Liverpool berusaha memburu gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini digabungkan dengan kemenangan 1-0 Red Devils ke atas Bournemouth memastikan Liverpool semakin hampir beraksi di Liga Europa musim hadapan. Sementara Villa pula semakin hampir untuk beraksi di Liga Europa buat kali pertama sejak musim 2010-2011.

Reds bakal mengakhiri musim mereka di St Mary apabila menentang Southampton pada 28 Mei. Manakala Villains pula berpeluang mengukuhkan cengkaman di tempat keenam dengan menentang Brighton pada hari yang sama.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram