EPL: Kad Merah Cemar Kemenangan Arsenal Ke Atas Wolves
EPL
Marc Atkins/Getty Images
Advertisements

Ramai menyangka selepas mengharungi mini pra-musim di Dubai, Arsenal akan menjadi lebih baik. Ini perlawanan pertama mereka dalam tempoh beberapa minggu tetapi ia masih Gunners yang sama. Anak buah Mikel Arteta bernasib baik dapat meraih tiga mata ke atas Wolverhampton Wanderers walaupun kehilangan Gabriel Martinelli selepas dilayangkan kad merah.

Selepas kalah dalam separuh akhir Piala Carabao dan dimalukan Nottingham Forest dalam Piala FA, prestasi EPL Arsenal perlu dimantapkan. Dengan Wolves yang dipimpin Bruno Lage dikatakan sedang mengintai slot tempat keempat, Arteta tahu mereka perlu menang agar dapat mengejar West Ham dan Manchester United yang turut memburu slot sama.

Pada babak pertama, bahagian pertahanan Wolves kelihatan selesa menyerap asakan Gunners. Arsenal terlebih dahulu mencuba menerusi Ben White. Selepas mendapat hantaran cantik Bukayo Saka, bekas bek tengah Brighton itu membuat percubaan ke arah gawang yang dikawal Jose Sa. Bagaimanapun, ia berjaya disekat kapten Wolves Conor Coady.

Advertisements

Tetapi semuanya berubah apabila sepakan sudut Martinelli gagal dikeluarkan pertahanan Wolves. Sa cuba mendapatkan bola tetapi berlanggar dengan penyerang Gunners Alexander Lacazette. Lacazette segera menolak bola ke kaki bek tengah Gabriel untuk gol pertama pelawat.

Satu perkara yang menghantui pasukan bimbingan Lage musim ini ialah penyudah tumpul. Dan ini meresahkan pengurus berdarah Portugal itu melihat anak buahnya gagal menyudahkan peluang yang terhidang. Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale menyangka ia akan berakhir dengan selesa.

Tetapi semua itu berubah apabila Martinelli mengutip dua kad kuning. Pengadil Michael Oliver terus melayangkan kad merah sekaligus mengubah momentum perlawanan. Akan tetapi, Wolves terus tumpul dengan Raul Jimenez, Leander Dendoncker dan Fabio Silva gagal menyudahkan peluang. Arsenal terus menyerap tekanan sehinggalah wisel penamat ditiup.

Advertisements

Kad merah yang dikutip Martinelli merupakan kad merah keempat dalam enam perlawanan. Isu disiplin ini harus ditangani segera oleh Arteta jika mahu mendapatkan slot terakhir Liga Juara-Juara Eropah. Jika tidak, Arsenal berdepan risiko terlepas peluang kembali ke pertandingan Eropah berprestij itu – hakikat yang diakui oleh bekas penyerang Arsenal Jeremie Aliadiere.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram