EPL: Kesilapan Lloris Hadiahkan Kemenangan 2-0 Wolves
EPL
Wolverhampton Wanderers/Getty Images
Advertisements

Selepas wisel perlawanan ditiup, pastinya kapten dan penjaga gol Tottenham Hotspur Hugo Lloris pasti merasa bersalah atas apa yang berlaku. Dua kesilapan yang dilakukannya pada babak pertama membantu Wolverhampton Wanderers mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Spurs.

Kedua-dua pasukan muncul masing-masing dengan kekalahan daripada perlawanan sebelumnya. Wolves tewas tipis di tangan Arsenal 1-0 di Molineux. Sementara Spurs pula kecundang 3-2 di tangan Southampton di gelanggang sendiri. Kedua-dua pasukan mahu bangkit semula dan mengejar slot Liga Juara-Juara Eropah.

Tottenham membuat tiga pertukaran untuk perlawanan kali ini. Rodrigo Bentancur diberi peluang membuat kemunculan pertama liga dengan mengisi slot Pierre-Emile Hojbjerg. Matt Doherty menggantikan Emerson Royal di bek sayap kanan dengan Ryan Sessegnon mengisi slot kiri menggantikan Sergio Reguillon.

Advertisements

Sementara pengurus Wolves, Bruno Lage membuat kejutan dengan memberi kemunculan pertama liga kepada graduan akademi Luke Cundle. Cundle bergandingan dengan dua pemain tengah berpengalaman Ruben Neves dan Leander Dendoncker bagi mengawal jentera tengah Wolves.

Pada babak pertama, kerapuhan benteng pertahanan Tottenham mula disedari barisan serangan Wolves yang diterajui Raul Jimenez dan Daniel Podence. Cubaan awal mereka menjadi apabila Lloris gagal mengeluarkan bola dua kali daripada kotak penalti Spurs. Tampanan bola penjaga gol Perancis itu mudah dimanfaatkan Jimenez untuk gol pertama pelawat pada minit keenam.

Pasukan tuan rumah cuba bangkit menerusi cubaan Son Heung-min pada minit ke-16. Bagaimanapun, sepakan lemah penyerang Korea Selatan itu berjaya ditangkap penjaga gol pelawat Jose Sa. Kegagalan Spurs memanfaatkan peluang penyamaan memakan diri dua minit selepas itu.

Advertisements

Sekali lagi, Lloris membuat kesilapan dengan membuat hantaran lemah kepada Ben Davies. Hantaran Davies berjaya dipintas Dendoncker sebelum mencipta gerakan ke arah pintu gol bersama Nelson Semedo dan Podence. Sepakan pemain sayap Portugal itu berjaya ditepis Lloris tetapi bola muntah berkenaan segera dikuis masuk ke gawang oleh pemain tengah Belgium itu.

Tottenham yang terdesak memasukkan seorang lagi pemain baru Dejan Kulusevski menggantikan Sessegnon. Kemasukan Kulusevski dan pergerakan lebih positif pada babak kedua gagal mengubah keputusan perlawanan yang dimahukan jurulatih Spurs, Antonio Conte. Wolves terus bertahan sehinggalah wisel penamat ditiup.

Dengan tiga kekalahan dialami Spurs, Conte perlu segera memperbaiki kerapuhan pertahanan mereka. Jika tidak, Tottenham Hotspur boleh saja mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram