EPL: Liverpool Benam Brentford 3-0
Dunia
Liverpool/Getty Images
Advertisements

Selepas Chelsea tewas di tangan Manchester City semalam, Liverpool berharap mereka dapat menewaskan Brentford hari ini. Dengan mengutip tiga mata di Anfield, jurang mata yang wujud antara Citizens dan Reds dapat dikurangkan. Dan ia dapat direalisasikan menerusi jaringan Fabinho, Alex Oxlade-Chamberlain dan Takumi Minamino.

Liverpool turun di Anfield tanpa kelibat Sadio Mane dan Mohamed Salah – kedua-duanya dipanggil pasukan kebangsaan masing-masing untuk Kejohanan Negara-Negara Afrika. Dua slot kosong bahagian serangan Reds diisi oleh Oxlade-Chamberlain dan Roberto Firmino.

Liverpool berharap kelibat mereka dapat mengelak keputusan seri 3-3 sama dengan Bees pada September tahun lepas. Sementara Thomas Frank pula memanggil semula Rico Henry ke kesebelasan utama Brentford selepas kali terakhir turun pada 22 Disember lepas.

Advertisements

Pada babak pertama, perlawanan didominasi oleh Reds. Bagaimanapun, anak buah Jurgen Klopp berdepan kesukaran menembusi pertahanan Bees. Ini disebabkan mereka memilih berkubu di kawasan mereka bagi mengehadkan peluang Liverpool. Tetapi ini menyebabkan ayam tambatan mereka Ivan Toney keseorangan di bahagian serangan.

Bagaimanapun, benteng pertahanan Brentford yang diketuai kapten Pontus Jansson akhirnya roboh juga. Beberapa minit sebelum rehat, Fabinho mengambil kesempatan daripada kekecohan yang dicetuskan oleh sepakan sudut Trent Alexander-Arnold. Kesilapan bek tengah Bees Kristoffer Ajer membenarkan pemain tengah Brazil itu menolak bola masuk ke gawang.

Pada separuh masa kedua, Frank membawa masuk Sergi Canos dan Yoane Wissa sebagai pencetus kebangkitan Bees. Bagaimanapun, pada minit ke-69, hantaran bek kiri Andrew Robertson berjaya disudahkan Oxlade-Chamberlain untuk gol kedua Reds. Begitupun, kecederaan memaksa graduan akademi Southampton itu digantikan oleh Minamino.

Advertisements

Minamino melengkapkan kemenangan Liverpool menerusi gol ketiga pada minit ke-77. Kesilapan hantaran penjaga gol Aitor Fernandez kepada Christian Norgard berjaya dipintas Firmino. Penjaga gol Sepanyol itu berjaya menghalang pergerakan penyerang Brazil itu. Tetapi Firmino memilih menghantar bola kepada Minamino sebelum menolak bola ke gawang kosong Brentford.

Kemenangan rutin 3-0 ini melonjakkan Liverpool ke tangga kedua liga. Walaupun mempunyai kelebihan satu perlawanan, ia masih satu tugas sukar untuk mengejar City. Sementara itu, Frank pastinya mempertimbang untuk membawa masuk Jonas Lossl sebagai penjaga gol. Kesilapan demi kesilapan yang dibuat Fernandez dalam beberapa perlawanan dilihat cukup untuk menjustifikasi pemilihan Lossl untuk perlawanan seterusnya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram