EPL: Liverpool Jadi ‘Lauk Raya’ Brighton
MakanBola
Brighton & Hove Albion FC

Liverpool berduka pada hari pertama bulan Syawal apabila tewas kepada Brighton dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL).

Selepas Manchester United diikat Bournemouth 2-2, The Reds berpeluang merapatkan jurang dengan musuh ketat mereka itu di tempat ketiga dari enam mata kepada tiga mata.

Ketiadaan Mohamed Salah mendorong pengurus Liverpool, Arne Slot menggandingkan Cody Gakpo dan Hugo Ekitike di bahagian serangan. Danny Welbeck mengetuai jentera serangan Brighton.

Sebaik wisel perlawanan ditiup, kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Stadium Amex.

Ekitike hanya bertahan selama lapan minit sebelum dikeluarkan akibat kecederaan. Slot memasukkan Curtis Jones sebagai pengganti bekas penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi Welbeck. Bekas penyerang Manchester United itu mudah menanduk hantaran Diego Gomez yang menewaskan Giorgi Mamardashvili.

Keceriaan kem Brighton hanya bertahan selama 16 minit. Milos Kerkez memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-30.

Bersambung pada babak kedua, The Seagulls terus memberi tekanan kepada Liverpool untuk menggandakan kelebihan jaringan mereka.

Ferdi Kadioglu hampir menyumbat gol kedua Brighton pada minit ke-52. Malangnya, percubaan bek kiri Turkiye itu dinafikan Mamardashvili.

Welbeck terus menjadi duri dalam daging kepada Liverpool. Beliau kembali meletakkan Brighton di hadapan empat minit selepas itu dengan menolak hantaran Jack Hinshelwood.

Liverpool terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan The Reds kekal di tangga kelima dengan 49 mata.

Brighton pula di tangga kelapan dengan 43 mata, enam mata di belakang anak buah Slot. Kedudukan Liverpool dijangka berubah sekiranya Brentford dan Chelsea masing-masing meraih kemenangan.

Sofascore memilih Welbeck sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau meraih 8.0 mata, 0.4 mata di hadapan rakan sepasukan, Bert Verbruggen.

Selepas ini, The Seagulls akan menentang Burnley pada 11 April. Liverpool pula akan turun menentang Manchester City untuk suku akhir The Emirates FA Cup pada 4 April.