EPL: Manchester United ‘Sedekah’ Mata Kepada Bournemouth
MakanBola
Manchester United

Manchester United terlepas peluang melebarkan rentak kemenangan apabila diikat Bournemouth 2-2 di Stadium Vitality.

Selepas berjaya menewaskan Aston Villa di Old Trafford, United berpeluang melebarkan kelebihan mata dengan Villa, Liverpool dan Chelsea. Bournemouth juga berpeluang memburu kelompok tujuh pasukan teratas liga.

Pengurus interim, Michael Carrick mengekalkan kesebelasan sama yang menewaskan The Villains. Pengurus Bournemouth, Andoni Iraola pula memanggil Alex Jimenez dan Amine Adli dalam kesebelasan utama.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan tetapi tidak berhasil.

Bruno Fernandes hampir meletakkan United di hadapan pada minit ke-36. Malangnya, percubaan beliau berjaya dihalang Djordje Petrovic sebelum melintasi garisan gol.

The Cherries juga hampir merobek gawang pelawat yang dikawal Senne Lammens tetapi gagal. Hal ini menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan semakin rancak menyerang untuk memburu gol pembukaan.

Jimenez ditimpa malang apabila menarik Matheus Cunha dalam kotak penalti pada minit ke-56. Ini membuka ruang buat Fernandes meletakkan United di hadapan menerusi sepakan penalti.

Keceriaan kem pelawat hanya bertahan selama enam minit. Ryan Christie menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan yang menewaskan Lammens.

United sekali lagi di hadapan pada minit ke-71. Tandukan Harry Maguire terkena pemain pertahanan Bournemouth, James Hill sebelum menerjah jaring.

Bek tengah England itu kemudiannya bernasib malang apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-78. Ini selepas Maguire dilihat menghalang Eli Junior Kroupi menjaringkan gol.

Kroupi tidak berdepan masalah menyempurnakan penalti dua minit selepas itu. Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

United dan Bournemouth masing-masing kekal di tempat ketiga dan ke-10 dengan 55 dan 42 mata. Sofascore memilih Christie sebagai pemain terbaik perlawanan dengan 7.9 mata.

Selepas ini, Bournemouth akan menentang Arsenal pada 11 April. United pula akan menentang Leeds United pada 14 April.