Rekod tanpa kalah Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) lebur apabila tewas kepada Nottingham Forest di Anfield.
Kedua-dua pasukan mahu mengekalkan momentum masing-masing dengan kedua-duanya masih belum tewas dalam EPL setakat ini.
Morgan Gibbs-White mengetuai cabaran Forest. Manakala Mohamed Salah pula terus diberi kepercayaan oleh Arne Slot untuk mengetuai jentera serangan Liverpool.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal. Luis Diaz hampir memecah kebuntuan buat The Reds pada minit ke-17 tetapi percubaannya terkena palang.
Dua minit selepas itu, giliran Dominik Szoboszlai pula mencuba dengan menanduk hantaran yang dibuat Salah. Malangnya, tandukannya tidak mengenai sasaran.
Gibbs-White hampir meletakkan Forest di hadapan beberapa minit selepas itu. Meskipun percubaannya tersasar, bekas bintang Wolves itu dikesan berada pada kedudukan ofsaid.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Liverpool terus memberi tekanan kepada Forest untuk memecah kebuntuan. Malangnya, gawang pelawat yang dikawal Matz Sels terus menjadi penghalang kepada usaha mereka.
Salah berusaha menembusi gawang Forest pada minit awal babak kedua tetapi rembatannya dinafikan Sels.
Penyokong Liverpool di Anfield terdiam apabila bekas bintang Chelsea, Calum Hudson-Odoi meletakkan Forest di hadapan pada minit ke-72.
Gol tersebut sudah cukup memastikan rekod tanpa kalah Liverpool dalam liga sebanyak tiga perlawanan lebur. Keputusan ini menyaksikan Forest menduduki tangga kelima dengan The Reds kekal di tangga kedua.
Kecekapan Sels mengekang Liverpool diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 7.8, 0.2 mata di hadapan Virgil van Dijk.
Selepas ini, Liverpool akan kembali fokus kepada saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Mereka akan menentang A.C Milan pada awal pagi 18 September.
Manakala Forest pula bersiap sedia untuk aksi liga seterusnya. Mereka akan turun menentang Brighton pada 22 September.