EPL: Man City Curi Tiga Mata Di Emirates, Akibatkan Meriam Arsenal Tersumbat
Dunia
John Sibley/Action Images/Reuters
Advertisements

Sekali pandang, ia merupakan kemenangan rutin buat Manchester City yang dibimbing Pep Guardiola. Benar, ia merupakan kemenangan ke-11 Citizens dalam liga. Tetapi jika ditanya penyokong-penyokong Arsenal, pasukan mereka lebih berhak menang jika tidak kerana campur tangan pengadil dan VAR.

Sejak dari babak pertama, Gunners yang bermain tanpa kelibat bos mereka, Mikel Arteta yang menjalani kuarantin menekan City habis-habisan. Mereka menekan City setiap kali pihak lawan mendapat bola dan mengekalkan bentuk formasi mereka. Ini memaksa pihak lawan hanya dapat membuat dua percubaan gol dengan kedua-duanya tidak menepati sasaran.

City bernasib baik di babak pertama apabila penjaga gol Ederson menjatuhkan Martin Odegaard dalam kotak penalti. VAR bagaimanapun mendapati kaki penjaga gol Brazil itu sempat menguis bola sebelum pemain tengah Norway itu dijatuhkan. Ia ibarat amaran kepada City bahawa mereka perlu berhenti bersikap pasif atau berdepan prospek dibolosi Gunners.

Advertisements

Dan apa yang dibimbangkan Guardiola menjadi kenyataan pada minit ke-31. Selepas menerima hantaran bek kiri Kieran Tierney, Bukayo Saka membuka jaringan untuk tuan rumah menerusi sepakan cantik menewaskan Ederson. Citizens bernasib baik apabila cubaan Gabriel Martinelli berjaya dikeluarkan oleh penjaga gol mereka. Jika tidak, keputusan perlawanan pada rehat separuh masa ialah 2-0 dan bukan 1-0.

Selepas rehat, Citizens terus diasak Gunners yang terus memaksa mereka membuat kesilapan. Apabila mereka cuba melancarkan serangan balas, ia berhasil apabila Bernardo Silva ditarik Granit Xhaka dalam kotak penalti. Walaupun ia kelihatan remeh, pengadil Stuart Attwell memberi sepakan penalti selepas diminta menyemak keputusan VAR. Bekas pemain sayap Leicester, Riyad Mahrez bijak menyudahkan penalti pada minit ke-57.

Arsenal cuba menyerang balas dan berhasil memaksa bek tengah Ruben Dias tertanduk bola ke gawang City. Bagaimanapun, tindakan pantas Nathan Ake berjaya mengeluarkan bola sebelum sepakan susulan Martinelli tersasar. Situasi Gunners tidak dibantu dengan tindakan Attwell melayangkan kad kuning kedua kepada bek tengah Gabriel. Ini memaksa Arsenal beraksi dengan 10 orang pemain.

Advertisements

Kelebihan bilangan pemain dimanfaatkan sepenuhnya oleh City. Bagaimanapun, Arsenal terus bertahan walaupun berdepan siri layangan kad kuning yang dikeluarkan Attwell – keputusan yang mengundang rasa tidak puas hati penyokong. Tetapi pada minit ke-92, Rodri muncul wira apabila rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol Gunners, Aaron Ramsdale.

Dengan kemenangan ini, jurang mata City dengan Chelsea dan Liverpool ialah sekitar 11 dan 12 mata. Dengan kedua-duanya bakal bertemu di Stamford Bridge esok, ia bakal menentukan siapa yang dapat mengejar City dan menyaingi mereka untuk kejuaraan EPL musim ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram