Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Man City mula memberi tekanan kepada pendahulu liga, Arsenal dengan membelasah Brighton 4-0.
City yang dibimbing Pep Guardiola perlu menang baki semua perlawanan untuk menghambat dan memintas The Gunners sebagai pendahulu liga. Ini selepas Arsenal membelasah Chelsea 5-0 baru-baru ini.
Sementara Brighton yang dibimbing Roberto De Zerbi pula memburu tiga mata di Stadium Amex untuk merapatkan jurang dengan Chelsea di tangga kesembilan liga.
Babak pertama menyaksikan barisan pemain pelawat mendominasi perlawanan. Walau bagaimanapun, City perlu menunggu sehingga minit ke-17 untuk mendahului menerusi pemain perancang Belgium, Kevin de Bruyne.
Tersentak, Brighton cuba bangkit memburu gol penyamaan. Malangnya, giliran Phil Foden pula mencipta nama sebagai penjaring dengan gol pada minit ke-26.
Bintang muda England itu terus memukau penonton di Stadium Amex dengan meledakkan gol kedua peribadinya pada minit ke-34.
Gol tersebut merupakan gol ke-16 Foden dalam EPL musim ini. Ini menjadikan beliau penjaring kedua terbanyak The Citizens di belakang rakan sepasukan, Erling Haaland yang meledakkan 20 gol.
Pelawat terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan The Seagulls tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, De Zerbi membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat memantapkan kembali barisan tuan rumah.
Malangnya, kebangkitan yang dicari beliau tidak muncul. Sebaliknya, penyerang Argentina, Julian Alvarez meledakkan gol keempat City pada minit ke-62.
City kemudiannya membuat beberapa pertukaran termasuk memasukkan pemain sayap Belgium, Jeremy Doku dan bintang England, Jack Grealish.
Barisan pertahanan tuan rumah diketuai kapten, Lewis Dunk menyerap tekanan The Citizens bagi memastikan keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan City kini hanya dipisahkan satu mata dengan Arsenal dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Magis yang dipamerkan Foden diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Beliau mendapat markah 8.9, 0.9 mata di hadapan Alvarez.
City selepas ini bakal bertandang ke City Ground untuk menentang Nottingham Forest pada 28 April. Manakala Brighton pula bakal menentang Bournemouth pada hari yang sama.