EPL: Man United Pamer Kebangkitan Dramatik Kalahkan Sheffield United
EPL
Manchester United
Advertisements

Man United bangkit daripada ketinggalan sebelum mengalahkan Sheffield United dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi ini.

Selepas berjaya mara ke final The FA Cup menerusi penentuan sepakan penalti, The Red Devils kini memburu Tottenham Hotspur yang menduduki tangga kelima liga.

Sementara The Blades pula berusaha untuk mengelak disingkirkan ke Liga Kejohanan selepas hanya mengutip 16 mata daripada 34 perlawanan.

Advertisements

Babak pertama menyaksikan tuan rumah mendominasi perlawanan untuk memburu kelebihan gol awal.

Malangnya, setiap serangan yang diusahakan kerap digagalkan oleh bekas penjaga gol Glasgow Rangers, Wes Foderingham.

Sebaliknya, The Blades mengejutkan Old Trafford dengan mendahului pada minit ke-35 menerusi Jayden Bogle.

Advertisements

Tersentak, tuan rumah melancarkan serangan demi serangan untuk mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, Harry Maguire memastikan kedudukan 1-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-42.

Bersambung pada babak kedua, The Red Devils melancarkan serangan bertubi-tubi untuk memburu gol kedua perlawanan.

Malangnya, United sekali lagi dikejutkan pelawat menerusi gol penyerang Chile, Ben Bereton Diaz pada minit ke-50.

Advertisements

Situasi ini mendorong pengurus tuan rumah, Erik ten Hag memasukkan pemain sayap muda, Amad Diallo menggantikan Antony.

Percaturan tersebut membuahkan hasil apabila United kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti. Penalti tersebut mudah disempurnakan Bruno Fernandes pada minit ke-61 untuk menjadikan kedudukan 2-2.

United menghela nafas lega apabila Fernandes meledakkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-81 selepas menyudahkan hantaran Kobbie Mainoo.

Advertisements

Penyerang Denmark, Rasmus Hojlund menamatkan kemarau gol dalam enam perlawanan dengan gol keempat pada minit ke-85.

Perlawanan ini turut menyaksikan penyerang kacukan Malaysia, Ethan Wheatley masuk menggantikan Hojlund pada minit ke-90. Keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Fernandes dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menerima markah 10. Ini selepas pemain perancang Portugal itu mencipta dua gol dan satu bantuan gol dalam perlawanan hari ini.

Keputusan ini menyaksikan United merapatkan kedudukan dengan Spurs di tangga kelima dengan 53 mata. Manakala The Blades pula semakin menghampiri penyingkiran dengan 16 mata.

United selepas ini bakal melayan kunjungan Burnley di Old Trafford pada 27 April. Sementara Sheffield pula bakal bertandang ke St. James Park untuk menentang Newcastle United pada hari yang sama.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram