EPL: Manchester City Buat Arsenal Hilang Arah
MakanBola
Manchester City FC

Manchester City makin hampir menakluk tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berjaya menewaskan Arsenal di Stadium Etihad pada lewat malam Ahad.

Kemenangan 2-1 di laman sendiri nyata memberikan tonik terbaik buat Manchester City bagi memburu gelaran juara ketika Arsenal yang hampa kini mula ‘cemas’ menghadapi baki aksi liga.

Rayan Cherki terlebih dahulu meletakkan Manchester City di depan apabila lincah memperdaya beberapa pemain Arsenal sebelum mudah menolak bola ke gawang yang dikawal oleh David Raya.

Belum habis tuan rumah bersorak ria, Arsenal sudah berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas kesilapan penjaga gol, Gianluigi Donnaruma memberikan ruang kepada Kai Havertz mencetak jaringan.

Aksi bertambah rancak apabila Erling Haaland turut mengukir nama selaku penjaring gol setelah bijak menyambar hantaran dari sebelah kiri bagi menewaskan David Raya buat kali yang kedua.

Perlawanan di Stadium Etihad berakhir dengan kemenangan 2-1 memihak Manchester City sekaligus menyaksikan posisi Arsenal di tangga teratas carta EPL ketika ini semakin goyah.

Walaupun Arsenal masih menerajui liga dengan mengumpul 70 mata, namun Manchester City yang ketinggalan hanya 3 mata masih memiliki satu perlawanan di dalam tangan untuk dimainkan.