‘Saya Membara’ Arteta Akui Arsenal Tak Takut Apa-Apa
MakanBola
Arsenal

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan pasukan itu tidak takut menghadapi sebarang cabaran menjelang aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Sporting Lisbon.

Isu mentaliti The Gunners kembali timbul susulan prestasi tidak menentu pasukan itu sejak kebelakangan ini.

Ini termasuk kekalahan Arsenal di tangan Bournemouth dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan terlepas gelaran juara Carabao Cup.

Apabila ditanya tentang isu tersebut, Arteta memaklumkan pasukan itu tidak takut dengan sebarang bentuk cabaran.

Malah, beliau cukup bersemangat untuk membantu Arsenal menamatkan kemarau trofi mereka bagi membalas kepercayaan yang diberi.

“Saya sudah lakukan banyak perkara. Saya hanya lihat keindahan, peluang dan ya, saya mahu menamatkannya buat semua orang (yang menyokong) dalam perjalanan ini bersama kita.

“Dan ini kerana mereka berhak mendapatnya disebabkan ia sesuatu yang mengagumkan. Itulah perkara yang menjadi pendorong saya setiap hari, tanpa rasa takut.

“Saya ada rasa takut bila saya jika kita tidak boleh lakukannya, kelab ini tidak tahu ke mana hala tujunya. Itulah ketakutan tetapi sekarang tiada ketakutan. Ia cuma matlamat, semangat, hala tuju dan keyakinan bahawa kita boleh melakukannya,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Arsenal berharap dapat meneruskan kemaraan ke separuh akhir. The Gunners memiliki bekalan satu gol selepas menewaskan Sporting 1-0 dalam aksi suku akhir pertama.