EPL: Manchester City Menang Selesa Ke Atas Leicester City
EPL
Manchester City
Advertisements

Manchester City terus merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal kepada tiga mata selepas mengalahkan Leicester City 3-1. Perlawanan ini turut menyaksikan penyerang Norway, Erling Haaland menyumbat gol ke-32 dalam liga musim ini.

Sebaik sepak mula, Citizens mula mengasak lawan mereka yang kini berada di zon penyingkiran EPL. Dan penyokong di Stadium Etihad tidak menunggu lama untuk gol pertama apabila John Stones melepaskan rembatan dari jarak 20 meter yang menewaskan penjaga gol Foxes, Daniel Iversen pada minit kelima.

Lima minit selepas itu, anak-anak buah Pep Guardiola naik angin apabila pengadil Darren England tidak memberikan sepakan penalti kepada mereka. Ini susulan bola sepakan Jack Grealish terkena tangan Wilfred Ndidi.

Advertisements

Selepas diminta memeriksa ulang tayang insiden di monitor oleh VAR, England tidak teragak-agak memberi penalti kepada tuan rumah. Dan Haaland tenang menewaskan Iversen bagi memperkukuh kedudukannya sebagai penjaring terbanyak EPL musim ini dengan 31 gol.

Leicester yang baru saja melantik Dean Smith sebagai pengurus interim sehingga akhir musim cuba bangkit. Malangnya, Haaland menambah derita pasukan pelawat dengan gol ketiga perlawanan pada minit ke-25.

Selepas berjaya mengesan larian Haaland, Kevin de Bruyne yang melepasi terjahan keras Ndidi membuat satu hantaran yang mudah disempurnakan bekas penyerang Borussia Dortmund itu. Itu juga merupakan bantuan gol ke-15 yang dicipta bintang Belgium itu dalam EPL musim ini.

Advertisements

Dengan kemenangan dalam genggaman, tidak hairanlah mengapa Guardiola memilih merehatkan Haaland, Stones dan Rodri pada separuh masa kedua. Sebaliknya, beliau memberi peluang kepada Manuel Akanji, Julian Alvarez dan Kalvin Phillips untuk menambah derita Foxes di Etihad.

Tetapi perkara sebaliknya berlaku. Leicester merapatkan jurang pada minit ke-75 menerusi penyerang mereka, Kelechi Iheanacho yang mudah menolak bola muntah Ederson ke dalam gawang City. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Tatkala tuan rumah ceria meraih tiga mata dan merapatkan jurang dengan Arsenal, lain pula halnya dengan Foxes. Dengan mereka kini mengutip 25 mata daripada 31 perlawanan, bekas juara EPL musim 2015-2016 itu berpotensi ditinggalkan lawan-lawan mereka yang mempunyai kelebihan satu atau dua perlawanan.

Advertisements

Selepas ini, City bakal berdepan Bayern Munich untuk aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 20 April ini sebelum disusuli separuh akhir The Emirates FA Cup menentang Sheffield United pada 22 April. Sementara Leicester pula berdepan Wolverhampton Wanderers dalam saingan EPL pada hari yang sama.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram