Manchester United bangkit pada babak kedua untuk meraih kemenangan ketiga dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Brentford.
United mahu kembali meraih kemenangan selepas kali terakhir melakukannya ke atas Southampton pada 14 September lalu. Manakala Brentford pula mahu meneruskan kemenangan selepas menewaskan Wolverhampton Wanderers 5-3.
Rasmus Hojlund terus menjadi sandaran gol pengurus The Red Devils, Erik ten Hag. Manakala Bryan Mbeumo menjadi pilihan Thomas Frank mengetuai serangan The Bees.
Separuh masa pertama menyaksikan bek tengah Belanda, Mathijs de Ligt terpaksa dirawat di tepi padang pada minit ke-14. Ini selepas kepalanya terlanggar lutut penyerang Brentford, Kevin Schade.
Pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho kerap menjadi duri dalam daging kepada pertahanan pelawat. Beliau hampir meletakkan United di hadapan pada minit ke-26 tetapi rembatannya ditepis penjaga gol Brentford, Mark Flekken.
Tatkala perlawanan hampir menuju rehat, pengadil mengarahkan de Ligt keluar dari padang untuk mendapatkan rawatan. Ini selepas luka di kepalanya dikesan kembali berdarah.
Dengan United terpaksa bermain sebentar dengan 10 pemain, Ethan Pinnock meletakkan The Bees 1-0 di hadapan sehingga rehat.
Insiden gol tersebut mengundang rasa tidak puas hati kem tuan rumah. Ini memaksa pengadil kemudiannya melayangkan kad kuning kepada de Ligt, ten Hag dan penolong pengurus, Ruud van Nistelrooy.
Bersambung selepas rehat, United membuat permulaan pantas untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, hantaran jauh Marcus Rashford pantas disudahkan Garnacho pada minit ke-46.
Gol tersebut memberi keyakinan kepada The Red Devils untuk terus memberi tekanan kepada The Bees. Garnacho hampir menambah gol keenamnya musim ini tetapi rembatan jarak jauhnya dinafikan Flekken pada minit ke-51.
Penyokong United semakin ceria apabila Hojlund meledakkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-63. Penyerang muda Denmark itu mudah menyempurnakan hantaran pendek Bruno Fernandes untuk menewaskan Flekken.
Tersentak, Frank memasukkan Yehor Yarmoliuk dan Fabio Carvalho dengan harapan dapat mengubah kembali momentum permainan.
Malangnya, gol penyamaan yang dicari The Bees tidak muncul dan itu sudah cukup untuk United meraih kemenangan ketiga liga musim ini.
Keputusan ini melonjakkan The Red Devils ke tangga ke-10 liga dengan 11 mata. Manakala Brentford pula jatuh ke tangga ke-12 dengan 10 mata.
Meskipun tewas, Flekken dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Ini selepas beliau mendapat markah 8.3, 0.1 mata di hadapan Garnacho.
Selepas ini, United mengalihkan fokus kepada aksi Liga Europa dengan menentang Fenerbahce pada awal pagi 25 Oktober. Manakala The Bees pula akan menentang Ipswich pada 26 Oktober.