Advertising
EPL: Manchester United Teruskan Rentak Kemenangan, Tewaskan Fulham
MakanBola
Manchester United

Manchester United meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Fulham 1-0 dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) di Craven Cottage.

Selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Rangers baru-baru ini, United mahu meneruskan rentak kemenangan dalam saingan liga. The Cottagers turut membawa misi sama selepas menewaskan Leicester City pada 18 Januari lalu.

Amad Diallo, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho menjadi pilihan pengurus The Red Devils, Ruben Amorim. Penyerang Mexico, Raul Jimenez menjadi sandaran gol pengurus Fulham, Marco Silva.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Alex Iwobi menguji kecekapan penjaga gol United, Andre Onana seawal minit keenam. Percubaan bekas bintang Arsenal itu mudah diselamatkan penjaga gol Cameroon itu.

Iwobi sekali lagi memberi tekanan kepada barisan pertahanan United pada minit ke-19. Malangnya, usaha pemain sayap Nigeria itu dinafikan Onana.

Ad
Ad

United berusaha mendapatkan gol menerusi trio Diallo, Hojlund dan Garnacho. Walau bagaimanapun, usaha mereka kerap digagalkan barisan pertahanan tuan rumah.

Ad

Kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan melakukan pertukaran pemain. Silva memasukkan bekas pemain sayap Wolves, Adama Traore pada minit ke-53.

United pula memilih memasukkan Leny Yoro dan Joshua Zirkzee untuk menambah elemen fizikal pasukan itu pada minit ke-58.

Tatkala penyokong menyangka perlawanan bakal berakhir dengan keputusan seri, Lisandro Martinez muncul wira United pada minit ke-76.

Bek tengah Argentina itu melepaskan rembatan jarak jauh yang terkena Sasa Lukic sebelum menewaskan penjaga gol The Cottagers, Bernd Leno.

The Red Devils menyangka mereka telah mendapat gol kedua menerusi Diallo pada minit ke-96. Malangnya, gol tersebut dibatalkan VAR atas kesalahan ofsaid.

Gol Martinez sudah cukup memastikan United meraih kemenangan kelapan dalam liga. Keputusan ini menyaksikan pasukan itu di tangga ke-12 dengan 29 mata, empat mata di belakang Fulham yang menduduki tempat ke-10.

Sumbangan Martinez sepanjang perlawanan turut diiktiraf Sofascore dengan markah 8.1. Beliau jauh meninggalkan rakan sepasukan, Harry Maguire yang mendapat markah 7.4.

Selepas ini, United kembali mengalihkan fokus kepada saingan Liga Europa UEFA (UEL). Mereka akan bertandang ke Romania untuk menentang kelab FCSB pada 31 Januari.

The Cottagers pula bakal berdepan satu lagi cabaran sukar apabila menentang Newcastle United di St. James Park pada 1 Februari.