EPL: Manchester United Tutup Musim Bergaya, Brighton Jadi ‘Mangsa’ Akhir
MakanBola
Manchester United

Manchester United menutup kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan bergaya apabila membelasah Brighton di Stadium Amex.

Brighton memerlukan kemenangan ke atas The Red Devils jika mahu mengesahkan kelayakan beraksi di pentas Eropah. United pula berharap dapat menghadiahkan kemenangan buat Michael Carrick selepas dilantik sebagai jurulatih tetap.

Bruno Fernandes memiliki misi mencipta rekod bantuan gol terbanyak dalam EPL selepas menyamai rekod 20 bantuan gol. Bekas penyerang United, Danny Welbeck mengetuai jentera serangan tuan rumah.

Separuh masa pertama menyaksikan Brighton berusaha mencari gol awal menerusi Welbeck, Jack Hinshelwood, Maxim de Cuypers dan Diego Gomez tetapi tidak berhasil.

Sebaliknya, United terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Patrick Dorgu pada minit ke-33. Bantuan gol ke-21 Fernandes musim ini pantas ditanduk Dorgu melepasi penjaga gol tuan rumah, Bart Verbruggen.

11 minit kemudian, gawang Brighton dibolosi buat kali kedua. Hantaran Amad Diallo singgah di kaki Bryan Mbeumo sebelum melepaskan rembatan cantik yang menewaskan Verbruggen.

Kelebihan dua gol membantu United selesa mendahului di Stadium Amex sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Brighton yang diberi jolokan The Seagulls cuba bangkit mengurangkan defisit gol. Malangnya, gawang mereka bocor lagi kali ini menerusi Fernandes.

Pada awalnya, gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid. Walau bagaimanapun, gol tersebut dikira selepas VAR mengesahkan Fernandes tidak berada dalam kedudukan ofsaid.

Situasi ini mendorong pengurus Brighton, Fabian Hurzeler membuat tiga pertukaran pemain. Beliau memasukkan Carlos Baleba, Solly March dan Charalampos Kostoulas dengan harapan dapat mengurangkan defisit gol.

Amad hampir menambah gol keempat United pada minit ke-60 selepas menerima hantaran Noussair Mazraoui.Malangnya, percubaan beliau pantas ditepis Verbruggen.

Brighton berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan United menamatkan kempen di tempat ketiga dengan 71 mata.

Prestasi baik ini bakal menjadi pendorong buat kelab gergasi EPL itu untuk tampil cemerlang dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim hadapan. Brighton pula kekal di tangga kelapan dengan 53 mata.

Fernandes dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.6. Beliau mengatasi Dorgu dan Amad yang masing-masing merekodkan 8.1 dan 7.5 mata.