EPL: Newcastle Pecah Rekod EPL Belasah Spurs
EPL
Newcastle United
Advertisements

Dengan persaingan merebut kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) makin sengit, ramai menjangkakan perlawanan sengit membabitkan Newcastle United dan Tottenham Hotspur malam ini. Tetapi sebaliknya, Magpies membelasah Spurs 6-1 di stadium keramat mereka, St. James Park.

Sebaik sepak mula, Toon Army mula menekan anak-anak buah jurulatih interim, Cristian Stellini. Dan mereka tidak perlu menunggu lama apabila Jacob Murphy membuka tirai jaringan pada minit kedua.

Murphy mudah menolak bola muntah daripada penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris selepas sebelum itu menampan percubaan rakan sepasukan Joelinton. Empat minit selepas itu, pemain tengah Brazil itu mencatat namanya sebagai penjaring dengan mudah menguis balingan jauh Fabian Schar tanpa dicabar pemain-pemain pertahanan Spurs.

Advertisements

Dua gol awal itu mendorong pelawat untuk cuba bangkit. Tetapi malangnya, tuan rumah menambah derita anak-anak buah Stellini menerusi rembatan Murphy dari jarak 30 kaki pada minit ke-11.

Belum sempat Spurs pulih daripada ketinggalan 3-0, penyerang Sweden Alexander Isak menewaskan Lloris pada minit ke-19. Hantaran jarak jauh yang dibuat Joe Willock berjaya disambar bekas penyerang Real Sociedad itu sebelum menewaskan bekas kapten pasukan kebangsaan Perancis itu.

Isak kemudiannya mencipta gol ke-10 bersama Magpies dengan menyudahkan gerakan menarik pada minit ke-21. Dengan Spurs ketinggalan 5-0 di St. James Park, tidak hairanlah ramai penyokong mereka mengambil keputusan untuk pulang awal ke London.

Advertisements

Rekod lima gol dalam tempoh 21 minit itu merupakan kedua terpantas direkodkan dalam sejarah EPL. Pasukan pertama yang terpantas melakukannya ialah Manchester City dengan lima gol dalam 18 minit semasa menentang Watford pada musim 2019-2020.

Keadaan ini memaksa Stellini segera membuat pertukaran dengan memasukkan Davinson Sanchez menggantikan Pape Sarr. Dengan pertukaran tersebut, Spurs kembali menggunakan tiga pemain pertahanan dan ini membolehkan keputusan 5-0 kekal sehingga rehat.

Sedar Lloris masih trauma dibolosi lima kali pada babak pertama, Stellini memasukkan Fraser Forster dengan Harry Kane menggalas peranan sebagai kapten. Pertukaran tersebut membuahkan hasil dengan Kane menyumbat gol pertama pelawat pada minit ke-49.

Advertisements

Tetapi jika ada mengharapkan ini sebagai tanda kebangkitan Spurs, sangkaan penyokong mereka meleset sama sekali. Pemain gantian Callum Wilson mudah menolak bola muntah sepakan Miguel Almiron untuk gol keenam Toon Army pada minit ke-67 dengan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Ironinya, keputusan ini mengingatkan penyokong Magpies kepada ketajaman peledak legenda Manchester City, Sergio Aguero. Dalam tempoh 20 minit di Stadium Etihad, lima gol penyerang Argentina itu memastikan tuan rumah membenam Newcastle 6-1 pada Oktober 2015.

Kemenangan ini membolehkan Newcastle memintas Manchester United ke tangga ketiga liga biarpun berkongsi 59 mata. Sementara Tottenham pula kekal di tangga kelima dengan 53 mata.

Advertisements

Selepas ini, Magpies bakal berdepan Everton di Goodison Park pada awal pagi 28 April. Sementara usaha Spurs merebut kedudukan empat teratas makin sukar apabila perlu menentang Red Devils di Stadium Tottenham Hotspur pada awal pagi hari yang sama.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram