Liverpool terus kempunan meraih tiga mata dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila diikat Nottingham Forest 1-1 di City Ground.
Aksi ini bukan saja peluang buat The Reds kembali meraih tiga mata selepas diikat Manchester United 2-2. Malah, ini peluang buat anak buah Arne Slot membalas dendam terhadap Forest.
Ini kerana pasukan itu mencipta kejutan dengan meraih kemenangan 1-0 di Anfield pada 14 September lalu. Bekas pemain sayap Chelsea, Calum Hudson-Odoi muncul wira buat anak buah Nuno Espirito Santo.
Penyerang New Zealand, Chris Wood terus menjadi taruhan Nuno di bahagian serangan. Slot pula memberi kepercayaan kepada Luis Diaz, Cody Gakpo dan Mohamed Salah sebagai pilihan serangan The Reds.
Separuh masa pertama menyaksikan Liverpool berusaha mencari kelebihan gol awal selaku pelawat di City Ground.
Tatkala The Reds berusaha mencari sentuhan penyudah yang tepat, tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi Wood.
Selepas berjaya merampas bola di bahagian tengah, Anthony Elanga pantas melakukan larian sebelum menghantar bola yang disudahkan Wood mengatasi Alisson.
Tersentak, Liverpool cuba bangkit mencari gol penyamaan. Malangnya, usaha mereka kerap digagalkan barisan pertahanan Forest diketuai Nikola Milenkovic.
Ketiadaan percubaan tepat The Reds pada separuh masa pertama memastikan Forest mendahului 1-0 sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Liverpool terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Forest tetapi tidak berhasil.
Situasi ini menyebabkan Slot memasukkan Kostas Tsimikas dan Diogo Jota untuk mengubah momentum perlawanan. Hasilnya, Jota menyamakan kedudukan Liverpool pada minit ke-66.
The Reds hampir meraih tiga mata penuh menerusi Salah pada minit ke-88. Kecekapan penjaga gol Forest, Matz Sels memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Keputusan ini menyaksikan Liverpool kekal menerajui liga dengan 47 mata, enam mata di hadapan Forest. Sels dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.0.
Selepas ini, Liverpool akan bertandang ke Brentford pada 18 Januari. Forest pula mengalukan kedatangan Southampton di City Ground pada 19 Januari.