EPL: Sepakan Percuma Trippier Raih Tiga Mata Untuk Newcastle United
EPL
Serena Taylor/Newcastle United/Getty Images
Advertisements

Sebelum perlawanan EPL Newcastle United-Aston Villa, Kieran Trippier dilihat masih belum cergas. Bekas bek kanan Spurs itu mengalami kecederaan semasa Magpies membenam Everton 3-1 beberapa hari sebelumnya. Tetapi keputusan pengurus Eddie Howe untuk menurunkannya dianggap berbaloi selepas gol Trippier benam Villa di St James Park.

Magpies membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Javier Manquillo dan Dan Burn. Burn masuk menggantikan kapten dan bek tengah Jamaal Lascelles. Sementara Manquillo pula mengisi slot bek kiri yang diisi Matt Targett. Targett tidak dapat turun bermain berikutan klausa pinjaman yang menghalangnya beraksi menentang kelab yang meminjamkannya.

Manakala Aston Villa pula mengekalkan kesebelasan utama yang diikat seri 3-3 oleh Leeds United di Villa Park beberapa hari sebelumnya. Hanya satu pertukaran dibuat iaitu Calum Chambers menggantikan Ezra Konsa yang digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning dalam perlawanan menentang Leeds.

Advertisements

Pada babak pertama, kedua-dua pasukan cuba mencipta peluang tetapi dipatahkan oleh barisan pertahanan masing-masing. Satu-satunya percubaan gol ialah menerusi Joe Willock pada minit ke-23. Bagaimanapun, ia berjaya dinafikan oleh penjaga gol pelawat Emiliano Martinez.

Namun begitu, semuanya berubah apabila perlawanan melepasi setengah jam. Willock disangka dijatuhkan Chambers dalam kotak penalti sekaligus mendorong pengadil Craig Pawson menganugerahkan penalti kepada Magpies. Tetapi selepas pemeriksaan VAR, ia diubah kepada sepakan percuma di luar kotak penalti.

Kebiasaannya, yang melakukan sepakan percuma ialah bekas pemain tengah Swansea Jonjo Shelvey. Tetapi Trippier yang bikin St James Park gegak-gempita dengan gol ketiga Newcastle dalam perlawanan menentang Everton memilih mengambilnya. Sekali lagi, St James Park riuh dengan sorakan apabila sepakan percumanya menembusi gawang Martinez.

Advertisements

Villa cuba bangkit pada separuh masa kedua. Dengan kecederaan yang dialami Trippier dan Manquillo, pengganti mereka Emil Krafth dan Paul Dummett berdepan tugas sukar mengawal Philippe Coutinho dan Ollie Watkins.

Asakan mereka berhasil pada minit ke-61 apabila Watkins menanduk masuk hantaran Lucas Digne menewaskan Martin Dubravka. Bagaimanapun, gol tersebut tidak dikira selepas pemeriksaan VAR atas alasan Watkins pada kedudukan ofsaid. Pertahanan Magpies yang dikemudi Burn terus bertahan sehinggalah wisel penamat ditiup.

Burn yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan melihat rekod tanpa bolos yang direkodkan sebagai penting. Beliau berkata, “Rekod tanpa bolos amat penting dan kemenangan berturut-turut telah mengubah suasana stadium. Dengan tahap permainan yang dipraktikkan kami, penyokong juga akan menikmati perlawanan dan menyokong kami.”

Advertisements

Ini merupakan kali pertama Toon Army menang tiga perlawanan berturut-turut dalam tempoh tiga tahun. Kemenangan ini turut membantu Newcastle menjarakkan lagi kedudukan mata dengan Norwich yang menduduki slot terakhir zon penyingkiran EPL.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram