Man United bangkit daripada kekalahan di UCL beberapa hari lepas dengan mengalahkan pendatang baru EPL, Luton Town di Old Trafford.
Selepas tewas 4-3 kepada FC Copenhagen dalam UCL, United memerlukan kemenangan hari ini bagi meredakan tekanan kepada pengurus mereka, Erik ten Hag.
Begitupun, Luton menjanjikan tentangan sengit lebih-lebih lagi selepas mengikat Liverpool 1-1 di Kenilworth Road pada minggu lepas.
Sebaik wisel perlawanan ditiup, The Red Devils melancarkan serangan demi serangan ke atas The Hatters.
Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-10 menerusi Rasmus Hojlund. Bagaimanapun, tolakan bolanya berjaya ditepis Thomas Kaminski sebelum ditolak ke luar padang.
Luton juga hampir mendahului menerusi Carlton Morris pada minit ke-36 tetapi percubaannya berjaya disekat Andre Onana. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, United terus meningkatkan tekanan ke atas pelawat.
Akhirnya, gol yang dicari The Red Devils muncul pada minit ke-60 menerusi bek tengah Victor Lindelof. Bermula dari Mason Mount,
Marcus Rashford melakukan rembatan dari sebelah kanan sebelum dikeluarkan pertahanan The Hatters. Bola tersebut hanya sampai ke kaki Lindelof sebelum bek tengah Sweden itu melepaskan rembatan menewaskan Kaminski.
Tersentak, pelawat berusaha mencari gol penyamaan tetapi tidak berhasil. Sebaliknya, tuan rumah berusaha menggandakan kelebihan mereka.
Scott McTominay hampir menambah gol kedua United pada minit ke-81 tetapi tandukan padunya berjaya dinafikan Kaminski.
Luton terus buntu mencari gol penyamaan dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini melonjakkan United ke tangga keenam buat sementara waktu dengan 21 mata.
Sementara The Hatters pula berada di tangga ke-17 dengan enam mata. Sofascore memilih Lindelof sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.4 mata.