EPL: West Ham Hampiri Slot UCL, Tewaskan Crystal Palace Di Selhurst Park
Dunia
Reuters
Advertisements

Selepas tamat 90 minit di Selhurst Park, skrip perlumbaan mengejar kedudukan empat teratas kembali memihak West Ham. Dengan Arsenal tewas di tangan pendahulu Manchester City beberapa jam sebelumnya, pasukan bimbingan David Moyes itu hanya dipisahkan satu mata dengan Gunners. Sekiranya mereka menang perlawanan seterusnya dengan Norwich City, tempat keempat sekali lagi akan dihuni mereka.

Begitupun, Hammers berdepan cabaran sukar Crystal Palace yang dibimbing Patrick Vieira. Walaupun tanpa kelibat Conor Gallagher dan Wilfried Zaha, Palace masih lagi berbahaya dengan kelibat Christian Benteke, Odsonne Edouard dan Jordan Ayew di hadapan. Ini sudah pasti menggentarkan pertahanan West Ham yang rapuh dalam beberapa perlawanan. Bagaimanapun, Moyes boleh menghela nafas lega apabila kapten Declan Rice kembali dalam kesebelasan utama.

Dengan Aaron Creswell masih lagi cedera, slot tersebut diisi oleh pemain muda Ben Johnson. Seawal minit pertama, bahagian serangan Eagles mensasarkannya sebagai titik lemah pertahanan. Selepas mengatasi Johnson, Ayew menghantar bola kepada Jeffrey Schlupp di mana sepakan bekas pemain Leicester itu terkena tiang. Cubaan Schlupp seterusnya berjaya disekat oleh Johnson.

Advertisements

Di sebalik kerapuhan ini, tiada siapa menafikan mereka menjadi pencetus serangan West Ham. Satu hantaran Johnson ke kotak penalti Palace berjaya dikawal bek kanan Vladimir Coufal sebelum dihantar ke Michail Antonio. Bagaimanapun, cubaan Antonio berjaya digagalkan penjaga gol Eagles, Vicente Guaita. Ini disusuli percubaan oleh Said Benrahma tetapi berjaya ditepis Guaita.

Tetapi pada minit ke-22, gawang Palace bocor juga menerusi tolakan Antonio selepas menerima hantaran Benrahma. Tiga minit selepas itu, larian Rice ke bahagian pertahanan ditamatkan dengan hantaran kepada Manuel Lanzini sebelum pemain Argentina itu menjaringkan gol cantik untuk Hammers. Edouard cuba merapatkan jurang dengan percubaan pada minit ke-30 tetapi percubaannya terkena palang.

Malang terus menimpa Palace apabila bola yang dikeluarkan kapten Luka Milivojevic terkena lengannya dalam kotak penalti. Insiden tersebut pada awalnya tidak disedari oleh pengadil Darren England. Tetapi selepas disemak oleh VAR dan melihat ulang tayang insiden, England memberi penalti kepada Hammers. Lanzini tiada masalah menyempurnakan penalti sebelum rehat separuh masa. Vieira tidak berpuas hati dengan keputusan England semasa rehat tetapi dalam temubual pasca-perlawanan, mengakui ia satu keputusan tepat.

Advertisements

Pada babak kedua, Palace terus menguji pertahanan yang dikepalai Craig Dawson dan Issa Diop. Walaupun banyak membuat percubaan, jentera serangan Palace terus tumpul. Ini mendorong Vieira mengeluarkan Benteke dan memasukkan Michael Olise. Percaturan tersebut berhasil apabila hantaran Olise disudahkan Edouard pada minit ke-82. Ini disusuli sepakan percuma Olise yang menerjah jaring pada minit ke-90. Tetapi itu masih tidak mencukupi menghalang Hammers mengutip tiga mata.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram