EPL: Wolverhampton Wanderers Kejutkan Manchester United
EPL
Wolverhampton Wanderers/Getty Images
Advertisements

Skrip perlawanan Manchester United-Wolverhampton Wanderers berkisar kepada dua pemain Portugal berpengalaman, Cristiano Ronaldo dan Joao Moutinho. Tetapi hanya Moutinho saja yang menjadi sebutan peminat pada akhir perlawanan. Sementara Ronaldo yang menjadi kapten untuk Red Devils pula kecewa kerana dikekang oleh barisan pertahanan Wolves yang berdisiplin. Dengan kemenangan 1-0 ini, kelab menikmati kejayaan pertama di Old Trafford dalam tempoh 40 tahun.

Bagi Phil Jones pula, ia merupakan penampilan pertamanya bersama Red Devils dalam tempoh 712 hari. Kali terakhir Jones beraksi ialah pada perlawanan Piala FA menentang Tranmere pada 2020. Sebelum ini, beliau tidak dapat bermain kerana isu kecergasan dan masalah kecederaan jangka panjang.

Ramai menyangka kariernya di Old Trafford sudah berakhir. Tetapi di bawah Ralf Rangnick dan faktor kecederaan yang menimpa Eric Bailly dan kapten Harry Maguire, bekas bek tengah Blackburn itu diberi peluang merebut tempat dalam pasukan utama. Jones tidak mengecewakan untuk penampilan pertamanya selepas pulih daripada kecederaan jangka panjang tetapi pasti berharap ia disudahi dengan kemenangan, bukan kekalahan.

Advertisements

Pada babak pertama, Wolves mendominasi perlawanan dengan 15 percubaan dengan empat daripadanya berjaya ditepis penjaga gol David de Gea. Dua percubaan pemain sayap Wolves Daniel Podence berjaya dinafikan penjaga gol Sepanyol itu. Sementara Jones pula berjaya menghalang bola hantaran Nelson Semedo daripada sampai kepada jeneral tengah Wolves, Ruben Neves.

Manchester United tahu dengan rentak tak bermaya di separuh masa pertama, mereka berpotensi dibolosi pihak lawan. Selepas rehat, United bermain lebih baik tetapi masih tercari-cari ruang memecah kebuntuan. Hanya selepas Bruno Fernandes dibawa masuk menggantikan Mason Greenwood, barulah Red Devils mula mencipta peluang demi peluang. Tetapi setiap percubaan mereka berjaya dikekang pertahanan Wolves diketuai penjaga gol Jose Sa.

Tatkala United berusaha mencari gol pembukaan, Wolves perlahan-lahan terus menguji de Gea dan barisan pertahanan Red Devils. Dan peluang yang dinantikan mereka akhirnya tiba pada minit ke-82 apabila sepakan jarak jauh Joao Moutinho menembusi gawang United. United yang terdesak cuba mencari gol penyamaan tetapi sudah terlambat. Kalau mahu kembali ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), prestasi hambar sebegini perlu dihentikan dengan segera.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram